
Ketika dihubungi Harian Metro, pada mula dia enggan mengulas mengenai perkara itu, tetapi akhirnya mengakui desas-desus mengenai perceraiannya itu.
Pelakon popular yang juga bintang filem kontroversi, Panas sekitar 90-an, serta pernah membintangi filem XX Ray 2 dan Susuk itu akur ketentuan yang menimpa dirinya dan mengakui ia berpunca daripada perselisihan faham mereka berdua.
Perkahwinannya dengan Fauzi yang berstatus duda beranak dua ketika itu termeterai pada 16 Julai 2006 di Masjid Wilayah Kuala Lumpur, sebelum dirai pada majlis resepsi sebulan kemudian di Hotel Palace of Golden Horses.
Menurut peragawati yang juga pemilik Akademi Peragaan Aleeza Kassim itu, dia redha dengan dugaan yang menimpa dirinya mengharapkan keajaiban akan berlaku terhadap kes penceraiannya itu.
“Suami menceraikan saya pada Februari lalu atas masalah yang berpunca daripada kami berdua. Namun, biarlah masalah itu menjadi rahsia kami.
“Tertekan juga sepanjang beberapa bulan ini kerana ada saja teman akrab yang bertanya. Mungkin mereka sudah dapat menghidu. Bukan saya ingin mengelak atau menipu sebaliknya perkara seperti ini masih baru bagi saya. Sesekali saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk bertindak atas perkara yang berlaku.
“Namun, hubungan antara saya dan bekas suami masih baik dan kami dalam proses memperbaiki perkahwinan kami. Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana segala-galanya masih dalam proses penyelesaian,” katanya.
Aleeza dikatakan hadir bersama Fauzi ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya sekitar Mac lalu bertujuan meminta khidmat nasihat pihak mahkamah.
Bagaimanapun perbicaraan kes mereka ditangguh sehingga 21 April ini untuk pembentangan lanjut.
“Saya masih sayangkan perkahwinan ini dan ingin menyelamatkan rumah tangga kami,” katanya. - Mymetro
No comments:
Post a Comment