AKTRES kecil molek, Anne Ngasri yang cukup sinonim dengan watak remaja kini selesa dengan penampilan bertudung.
Ibu kepada dua cahaya mata ini menganggap dirinya kini sudah sampai ke titik perubahan.
Bagaimanapun katanya, perubahan tersebut biarlah berlaku secara perlahan-lahan.
“Sejak pulang dari menunaikan umrah, saya merasakan diri saya sudah bersedia untuk membuat perubahan.
“Sebenarnya saya sudah lama menyimpan hasrat untuk pakai tudung tapi sekarang adalah masa paling sesuai.
“Namun begitu untuk cerita Mayang Mengurai, saya terpaksa membuka tudung kerana niat untuk mencari rezeki. Lagipun memang susah kalau kita nak harap watak yang pakai tudung sahaja,” ujar Anne.
Menurutnya, biarlah niatnya membuka tudung dinilai antara dia dan Allah sahaja.
“Saya tahu tidak manis jika saya buka dan pakai tudung, namun biar Tuhan sahaja yang mengetahui niat saya.
“Mungkin orang akan keliru dengan penampilan saya, dalam drama saya tak pakai tapi jika mereka jumpa saya diluar saya pakai tudung lengkap.
“Saya tahu jaga batasan saya dengan penampilan baru ini, saya tidak pakai baju yang jarang dan menjolok mata serta berlakon watak yang berpegangan tangan,” ujar ibu kepada dua cahaya mata lelaki Abdul Warits dan Abdul Wardi.
Ketika ditanya tentang tawaran berlakon dengan penampilan bertudungnya, kata Anne dia menyerahkan segalanya kepada Allah.
“Saya percaya rezeki itu datang dari-Nya, kalau kita berubah ke arah kebaikan pasti Allah membuka jalan rezeki yang lain untuk saya,” ujar Anne yang tidak mahu komitmen terhadap lakonan mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu.
Bercerita tentang lakonannya dalam drama Mayang Mengurai, Anne memegang watak sebagai Mayang Indra, adik kepada Mayang Mengurai yang mempunyai kuasa untuk memukau orang.
“Saya terpaksa mengunakan bulu mata palsu yang tebal di bahagian atas dan bawah. Sebelum ini saya jarang mengunakan bulu mata palsu ketika berlakon.
“Untuk bawa watak Mayang Indra, saya perlu membaca buku-buku dongeng puteri seperti Cinderella dan Rapunzel,” kata Anne.
Mayang Mengurai merupakan adaptasi cerita dongeng Rapunzel yang akan ke udara pada jam 4.30 petang mulai Isnin (12 Januari) hingga Khamis dalam slot Lagenda TV3.
Antara barisan pelakon drama bersiri itu adalah Tania Hudson (Mayang Mengurai), Zarina AF (Mayang Merdu), Ammar (Khalif), Kamal Adli (Shahrul), Sabrina Ali (Kornilam) dan ramai lagi.
Anne mengakui dia tidak mahu pengambaran yang dilakukan di luar Kuala Lumpur kerana enggan berjauhan dengan anak-anaknya.
“Setiap tawaran saya akan pastikan tidak ada pengambaran yang jauh-jauh dari Kuala Lumpur, untuk cerita ini ada babak yang dibuat di Perak, jadi saya terpaksa ulang alik setiap hari dari rumah ke sana,” kata Anne yang juga tidak mahu memegang watak utama kerana komitmen yang tinggi.
“Saya lebih gemar membawa watak pembantu berbanding watak utama, ini kerana saya tidak mahu komitmen, saya lebih senang dengan watak pembantu,” kata Anne mengakhiri perbualan. - Mstar
No comments:
Post a Comment