Skim ini dilihat sebagai tanda keprihatinan kerajaan dan dapat meringankan beban. Ini secara tidak langsung mengingatkan mereka bahawa golongan artis juga tidak terkecuali menerima bantuan kerajaan.
Pengarah Khidmat Pengurusan Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas), Abdul Khalid Maulod, skim ini adalah bantuan penuh kerajaan di mana sebanyak RM5 juta diperuntukkan untuk membantu artis yang memerlukan. Setakat ini, sebanyak RM 920,000 digunakan.
"Bagi artis yang memerlukan bantuan, mereka perlu membuat permohonan melalui persatuan sedia ada seperti Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan sebagainya.
"Di dalam permohonan mereka hendaklah disertakan bukti seperti pembayaran bil perubatan. Setiap permohonan yang dihantar akan diserahkan ke KPKK untuk mendapat kelulusan. Finas menjadi orang tengah dalam permohonan bantuan ini.
"Skim ini tidak terhad kepada artis Melayu saja malah artis bukan Melayu turut digalakkan memohon. Proses kelulusan mengambil masa dua hingga tiga minggu. Bantuan yang diberikan bukan untuk menanggung kos keseluruhan perubatan tetapi untuk meringankan beban yang ditanggung artis," katanya.
Sementara itu, Presiden Seniman, Datuk Mustapha Maarof berkata, Seniman berusaha memantau rakan artis yang bermasalah supaya dapat dibantu menerusi skim yang diperkenalkan KPKK.
"Persatuan memantau dan mencari artis yang kesusahan dan memastikan tiada di antara mereka terkecuali dari menerima bantuan. Kita juga tidak mahu isu sakit ini disalah erti dengan penyalahgunaan dengan sewenang-wenangnya.
Seniman turut berusaha mendapatkan laporan perubatan bagi artis yang membuat permohonan. Kemudian, kita akan usulkan permohonan ke Finas untuk dibuat tindakan susulan," katanya.
Meneruskan usaha ini, Finas mengadakan pemberian sumbangan RM 5,000 kepada pelakon dan penyanyi veteran, Abdul Latif Ibrahim, 58, di Bilik VIP, Finas. Bagi Latif, dia sangat bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan yang diberikan.
Katanya, sumbangan itu memberi makna besar pada dirinya yang menghidap paru-paru berair. Pelakon dan penyanyi ini mendapat tahu penyakit yang dialaminya pada 1994.
"Sejak menghidap paru-paru berair, saya dinasihatkan doktor supaya tidak minum air melebihi 1.2 liter sehari. Sekiranya tidak mematuhi, saya akan lemas akibat daripada air akan masuk dalam paru-paru.
Pada 1994, selepas mengetahui sakit yang dialami, tersebar satu cerita yang cuba menjatuhkan saya. Kisah saya dikhabarkan lumpuh tersebar dan hampir-hampir menutup periuk nasi saya.
Selepas berita itu tersebar, tiada seorang penerbit atau pengarah pun yang menawarkan saya berlakon. Sepanjang saya sakit, saya tidak pernah hebahkan kepada orang lain. Hanya kaum keluarga terdekat saja yang mengetahuinya.
Akibat daripada penyakit ini, saya kurangkan lakonan. Hanya tawaran yang bersesuaian dengan kemampuan yang saya terima. Contohnya, Skop Production ada tawarkan lakonan tetapi saya terpaksa menolaknya atas masalah kesihatan. Drama terakhir yang saya terima ialah Otai lakonan bersama Saiful Apek dan Nasha Aziz.
Sejak sakit, saya hanya menerima tawaran menyanyi. Itu pun hanya dua lagu saja. Dalam sebulan, saya menerima dua hingga tiga kali undangan nyanyian," katanya.
Menurut Latif, tumpuannya kini lebih terarah ke bidang nyanyian kerana mudah dilakukan. Dia banyak menerima undangan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, dia mengambil ubat sejak 1994 dan mengawal pengambilan minuman. Dia perlu menjalani rawatan setiap 3 atau 4 bulan sekali yang menelan belanja RM 600.
"Penyakit ini tiada tiada ubatnya. Langkah terbaik adalah dengan mengawal pengambilan air dan perlu banyak berehat. Selain paru-paru berair, saya turut menghidap kencing manis.
Sebelum ini, saya pernah dimasukkan ke Hospital Gleneagles selama dua minggu dan Institut Jantung Negara juga dua minggu.
Saya ucapkan berbanyak terima kasih pada Finas, Seniman dan KPKK kerana membantu meringankan beban yang ditanggung. Bantuan dari kerajaan ini amat bermakna untuk saya," katanya. - Mymetro
No comments:
Post a Comment