KUALA LUMPUR: Keluarga pelakon remaja, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abadin, 19, yang didakwa dipukul oleh pelakon drama Nur Kasih dan teater Natrah, Remy Ishak, 27, atau nama sebenarnya Mohamad Zalimie Ishak mendakwa mereka berdiam diri selama ini supaya siasatan dapat dijalankan pihak berkuasa, sekali gus kerana ingin memberi ruang Remy mengaku perbuatannya.
Dalam surat terbuka berbentuk pesanan kepada Remy yang dihantar melalui e-mel kepada media oleh ibu Ummi, Datuk Maziah Musa, Remy berterusan memberi kenyataan yang tidak benar hampir setiap hari melalui media.
Isi kandungan surat berkenaan turut menyebut, sebagai lelaki, pelakon terbabit tidak berhak memukul anak gadisnya dan antara mereka belum ada apa-apa ikatan dengannya. Anaknya masih muda dan berhak berkawan dengan sesiapa saja.
Berikutan adalah lanjutan isi kandungan surat terbuka itu:
JANGAN menjadikan isu dua darjat untuk menagih simpati. Sedangkan kamu sendiri pernah berjumpa saya dan bercakap dengan saya, bebas datang bersama anak saya ke restoran saya dan kamu sering datang ke perkarangan rumah saya untuk bertemu anak saya.
Bukan harta dan paras rupa yang dipandang. Tapi keikhlasan dan baik pekerti yang dinilaikan. Kamu rasa wajarkah apa yang kamu lakukan terhadap perempuan yang kamu mengaku menyayanginya? Cinta dan kasih sayang adalah sesuatu yang mulia di sisi Allah, tiada paksaan mahupun kekasaran. Apatah lagi sanggup mengaibkan orang lain semata-mata untuk menutup kesalahan sendiri.
Menggunakan nama Allah, menidakkan apa yang kamu lakukan. Sebagai pelakon, sepatutnya kamu memberi teladan baik kepada masyarakat. Tetapi kamu menjadikan diri kamu sebagai contoh terbaik sebagai artis yang teruk perilaku yang akan mencemarkan dunia artis dan dunia hiburan.
Mempertahankan diri dan memukul adalah dua perkara berbeza. Sejak bila pula kamu pandai membayar balik harta benda Ummi yang kamu pecahkan setiap kali bertengkar? Jangan kamu memutarbelitkan kenyataan. Dayus bagi seorang lelaki memukul perempuan.
Untuk apa kamu dan keluarga kamu malu pada masyarakat sedangkan kamu tidak malu pada Tuhan, mendera kaum yang lemah. Kamu jangan bercakap mengenai kebenaran kalau kamu sendiri tidak tahu apa itu kebenaran.
Bukti kamu memukul anak saya ada pada saya dan laporan polis sudah anak saya buat. Malah perbuatan kamu juga bersaksi, kamu sendiri mengetahuinya kerana kamu sendiri pernah memujuk seorang saksi supaya tidak memberitahu kepada sesiapa.
Adakah kamu lupa Zalimie? Atau kamu rasa kamu masih di pentas lakonan? Kamu sekarang sebenarnya di pentas dunia di mana Allah yang menjadi saksinya. Sebagai hamba Allah kamu sepatutnya mengaku kesilapan kamu, sekalipun kamu tidak mahu memohon maaf. Kamu tanya diri kamu, siapa sebenarnya yang tidak berperikemanusiaan dan tidak menggunakan akal dan fikiran yang Allah kurniakan.
Sebagai ibu, saya berasa terkilan apabila mendapat tahu cerita sebenar daripada anak saya bagaimana dia dikasari secara emosi dan fizikal sepanjang berkawan dengan kamu. Sebagai ibu, adakah kamu fikir saya akan terus berdiam diri? Apa hak kamu untuk melarang saya bersuara? Sebagai ibunya saya wajib mencampuri urusan anak saya demi kesejahteraan dirinya.
Saya juga hanya manusia biasa yang punya hati dan perasaan. Sebagai ibu yang mengandungkan Ummi selama sembilan bulan, saya tidak mampu lagi mendiamkan diri selepas melihat anak saya yang pernah pecah dan berjahit di kepala, kini pecah di muka.
Saya berharap semua ibu bapa di luar sana akan mengambil kelalaian saya ini sebagai teladan. Saya bersyukur kepada Allah kerana kesedaran ini hadir sebelum benar-benar terlewat.
Buat kamu Zalimie, saya doakan kamu akan insaf dan tidak akan mengulangi apa yang kamu lakukan kepada anak saya kepada mana-mana wanita lain di masa depan.
Saya hanya mampu berdoa semoga kamu diberi cahaya keinsafan untuk mengaku apa yang kamu lakukan dan tidak lagi terus berpura-pura. - Mymetro
No comments:
Post a Comment