Tuesday, December 22, 2009

Sedulang Serai Penyeri 'Majlis Merisik' Azwan Ali Di Kluang

KETIKA umat Islam sibuk menyambut Maal Hijrah baru-baru ini, selebriti terkenal Azwan Hj Ali dalam diam-diam membawa rombongannya seramai 8 orang ke Kampung Rahmat, Kluang Johor untuk menghadiri satu majlis 'merisik'.

Sebaik menatap foto-foto yang dikirimkan oleh peminat Azwan, yang mahu dikenali sebagai Linda, sekitar majlis tersebut, berbagai pertanyaan bermain di dalam kepala.

Apakah itu 'majlis merisik' seperti yang pernah diramalkan sebelum ini? Dan siapakah pula gadis Kluang yang berjaya menambat hati Azwan selama ini?

Ketika dihubungi, Azwan masih terus mengunci mulutnya dan membiarkan saja spekulasi tentang 'majlis penuh rahsia' itu tanpa ada sebarang jawapan.

"Acara merisik itu amat bermakna kerana ia ada kena mengena dengan masa depan saya. Majlis yang diadakan tempoh hari sebenarnya diadakan untuk menyatakan kesyukuran.

"Selain beramah mesra dengan penduduk di situ, kami juga mengadakan tahlil, bacaan Yassin dan kenduri doa selamat di Masjid Al-Islah dengan anak-anak tahfiz al-Quran," kata Azwan.

Menurut Azwan, 'majlis merisik' itu berlangsung selama tiga jam, bermula dari pukul 3 petang hinggalah ke malam, dalam suasana yang sungguh meriah. Lebih 100 orang kampung keluar beramai-ramai menyambut kehadiran Azwan sebaik pengacara terkenal itu sampai.

Keterujaan melihat selebriti itu dari dekat menyebabkan keadaan di kampung tersebut tak ubah seperti menyambut ahli politik yang datang melawat kawasan.

Suasana menjadi lebih meriah apabila kedatangan Azwan diiringi kereta polis peronda, paluan kompang dan bunga manggar. Turut hadir ialah ketua kampung, Hj Abdullah Abdul Kadir bersama lebih 100 orang penduduk kampung, yang turut berarak bersama-sama Azwan.

Malah krew TV3 bersama penerbit sensasi, Nas Ahmad turut turun padang untuk memeriahkan majlis 'merisik' itu. Difahamkan acara itu akan dimuatkan dalam slot program baru berjudul 'Terjah' yang akan diumumkan tidak lama lagi.

"Saya dijemput memberi ucapan selama 15 minit sebelum majlis diteruskan dengan acara potong pulut kuning sebagai tanda kesyukuran. Tidak dapat digambarkan betapa terharunya saya dengan sambutan orang kampung," kata adik kepada YB Azmin Ali ini.

Khabarnya, acara kemuncak pada hari itu ialah menanam serai dan sebagai simboliknya, Azwan telah diberi sedulang serai untuk dibawa pulang sebagai kenangan.

"Saya tidak mahu mengulas tentang apa sebenarnya yang terjadi hari itu. Simboliknya serai itu diberikan kepada saya sebagai salah satu syarat saja....

"Kalau ingin tahu lebih lanjut, kena tunggu majlis pengumuman yang akan diadakan pada 13 Januari, 2010, pukul 3 petang bertempat di Hotel Palace of the Golden Horses. Kad undangan sudah pun diedarkan dan majlis itu akan diserikan dengan ramai selebriti popular," jelas Azwan yang masih berselindung tentang majlis penuh rahsia yang bakal diadakan tahun depan itu.

Katanya lagi, "Saya bukan hendak berahsia tentang 'majlis merisik' itu tapi tunggulah dulu. Saya belum bersedia untuk mengumumkannya lagi."

Azwan akui sikapnya yang tidak mahu menghebahkan apa sebenarnya inti pati 'majlis penuh rahsia' itu telah mengundang berbagai spekulasi.

"Biarlah apa pun orang nak kata. Yang penting, 'majlis rahsia' tahun hadapan itu ada kena mengena dengan berita gembira. Berkat kesabaran, limpah kurniaNYA dan doa ibu saya, Mak Tom, rezeki saya bertambah baik sekarang," kata penulis blog terkenal ini yang sudah pun menempah sepersalinan baju untuk acara bersejarah itu nanti.

Menyentuh tentang blognya 'silaserazwanali.blogspot.com' yang semakin mendapat tempat di hati pembaca segenap lapisan kerana mengandungi gosip semasa, Azwan berkata, sehingga hari ini, peminatnya sentiasa memberikan sokongan moral.

"Saya sudah buat banyak perubahan terhadap blog saya. Semua feedback yang positif dan negatif saya terima dengan hati yang terbuka.

"Saya amat berbesar hati bila ramai yang membaca blog saya dan memberi komen. Tapi ada juga yang tidak suka saya masih mengulas gosip-gosip panas yang saya dapat dari sumber terdekat.

"Sebenarnya, di sebalik gosip panas itu, ada unsur nasihat yang saya selitkan untuk kita sama-sama mengambil iktibar," kata bekas graduan jurusan undang-undang Universiti Malaya ini yang masih kekal dengan komen pedasnya apabila menulis.

Selain sibuk dengan aktiviti seni, Azwan juga tidak ketinggalan mengikuti perkembangan politik semasa.

"Saya semakin kerap memberi kritikan sosial terhadap isu semasa dalam blog saya. Kadang saya menulis secara straight to the point, ada kalanya saya cakap berlapik tapi yang paling efektif bila disulami dengan sindiran," kata Azwan yang sedang giat menyiapkan buku pertamanya, "Selamat Tinggal Dunia Pondan".

Jelasnya lagi, "Saya benar-benar teruja dengan dunia penulisan. Banyak perkara baru yang saya pelajari setiap hari. Rupa-rupanya bukan senang jadi penulis...." - Mstar

No comments:

Post a Comment