Saturday, January 2, 2010

Aliah Lee 'Kunci Mulut' Tentang Majlis Perkahwinan

KISAH pertunangan pelakon dan penerbit, Nur Aliah Lee atau Vee rancak diperkatakan sejak bulan November lalu lagi. Di internet ketika itu, tersebar gambar-gambar Vee dan pasangannya yang diambil pada majlis pertunangan mereka.

Vee bagaimanapun terus mengunci mulut tentang pertunangan rahsianya dengan lelaki yang dikatakan adalah seorang ahli perniagaan itu. Cerita terbaru pula mengatakan pasangan ini akan melangsungkan pernikahan mereka pada 8 Januari ini.

Berpeluang bertemu Vee dan pasangannya itu pada majlis perkahwinan anak lelaki Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat (Tok Mat) iaitu Nur Jasni dan pasangannya Liza Mydin di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz Shah, Petaling Jaya, semalam, wanita berusia 37 tahun itu bagaimanapun tetap mengelak daripada membicarakan tentang hal tersebut.

Hadir dengan berpakaian sedondon berwarna ungu, pasangannya juga dilihat terus bangun meninggalkan meja makan itu setelah melihat penulis menghampiri Vee.

Ditanya tentang pertunangan rahsianya itu, sambil tersenyum Vee yang sudah dua tahun hidup menjanda ini hanya menjawab:

"Susah nak cakap...itu kena tanya dia (pasangannya). Kalau dia ok, saya bolehlah cakap."

Vee juga enggan mengulas lanjut tentang pasangannya itu serta tarikh sebenar majlis perkahwinannya.

"No comment. Nanti, lepas selesai semuanya, saya akan bagi kenyataan. Saya faham tugas wartawan kerana saya juga berada di dalam industri ini.

"Tapi saya perlu menghormati kehendak dia (pasangan) dan saya harap semua pihak memahami," kata Vee dalam nada perlahan.

Vee pernah mendirikan rumahtangga dengan pengarah terkenal, Aziz M. Osman yang bertahan selama 15 tahun dan mempunyai lima orang anak. - Mstar

No comments:

Post a Comment