Wednesday, February 10, 2010

'Saya bukan artis bermasalah' - Azza

WANITA dengan nama sebenar Azzarima Zawari cukup terkenal dengan nama komersialnya Azza (Elite). Populariti yang dikecapi kini, diulit dengan pelbagai dugaan yang ada kalanya mampu meruntuhkan semangat seorang wanita.

(Gambar : MENGAKUI masih berkawan dengan Mohd, Firhan, Azza tetap mempertahankan pemuda ini seorang lelaki yang baik dan telah membahagiakan dirinya. )

Ramai yang tahu perjalanan hidup Azza penuh liku dan tidak sunyi daripada kontroversi, terutama selepas mahligai yang dibina bersama bekas suaminya Mohd. Ehsan roboh.

Terbaru, Azza sekali lagi menarik perhatian khayalak dengan isu dipukul oleh teman lelakinya Mohd. Firhan Yusof, 29, jejaka yang pernah dikatakan sebagai penyelamat hidupnya.

Isu tersebut mendapat liputan meluas media apabila dia dan teman lelakinya diheret ke balai polis bersama apabila Azza sendiri menghubungi pihak polis.

Kata Azza, dia tidak menyangka isu pertengkaran antaranya dan kekasih dapat dihidu oleh pihak media, sedangkan apa yang berlaku hanyalah salah faham sahaja.

"Memang saya ke balai polis tetapi hanya untuk mendapat nasihat polis dan mereka nasihatkan supaya kami jangan gaduh-gaduh lagi. Kami hanya bertekak lidah, tiada pun pukul sampai lebam-lebam.

"Berkenaan laporan polis yang dibuat pada 5 Januari lalu, ia tiada langsung berkaitan dengan teman lelaki saya tetapi disebabkan saya menerima beberapa kali SMS berbaur ugutan.

"Bimbang dengan keselamatan diri, saya buat laporan polis itu sahaja. Saya harap lepas ini tiada apa-apa lagi gangguan seperti itu," jelas Azza.

Meskipun begitu, hubungan Azza dengan kekasih yang dikenali setahun lebih masih berjalan seperti biasa. Malah, mereka telah berbaik semula dan berharap perkara yang sama tidak akan berulang kembali.

"Saya masih berkawan dengannya. Walaupun apa yang terjadi memberi impak kepada saya, saya yakin dia masih seorang lelaki yang baik. Saya anggap semua yang terjadi sebagai ujian Allah dan saya laluinya dengan tabah.

"Mungkin apa yang berlaku membuatkan kami menjadi pasangan yang lebih baik. Saya juga tidak tahu masa depan macam mana, sekarang memang kami masih berkawan tetapi belum tentu dia yang akan menjadi suami saya kerana jodoh terletak di tangan Allah," tuturnya.

Tolak dakwaan

Ditebak pula tentang impak perkara tersebut dalam kerjayanya, mungkin kerana isu tersebut orang menganggap Azza artis yang bermasalah.

Azza dengan tenang menjawab sejak isu dipukul kekasih tersiar di dada akhbar, kehidupannya masih berjalan seperti biasa.

"Kehidupan saya okey, tiada apa-apa yang berubah. Cuma bila saya pergi mana-mana orang akan tanya hal yang sama berulang kali sampai letih juga saya nak menjawabnya.

"Tawaran lakonan juga tidak pernah putus kerana saya jenis orang yang tidak mencampur-aduk kerjaya dan soal peribadi. Tanyalah mana-mana penerbit dan pengarah, saya tidak pernah datang lewat ke lokasi dan tidak buat hal yang bukan-bukan," tegasnya.

Sejak namanya kembali hangat, tiba-tiba ada pula khabar angin bertebaran yang mendakwa kononnya Azza bukan sahaja terpaksa mencari rezeki untuk diri sendiri dan juga anak angkat Marissa Jannah Ehsan, 5, tetapi juga untuk teman lelakinya itu.

Ini kerana ada pihak mendakwa, Mohd. Firhan tidak bekerja dan mengharap sepenuhnya wang tanggungan daripada Azza.

Menolak sekeras-kerasnya dakwaan itu, Azza menyifatkan dirinya belum cukup kaya untuk menanggung orang lain sedangkan dia sendiri mempunyai keluarga yang harus ditanggung.

"Tidak ada maknanya saya nak buat begitu. Masalahnya, saya kaya sangat ke sampai nak menanggung orang lain. Buat apa saya nak tanggung orang? Sedangkan saya ada anak dan keluarga di kampung yang harus saya tanggung.

"Dia lelaki yang baik dan saya bahagia dengan apa yang saya miliki hari ini. Isu saya tanggung kekasih memang tidak wujud sama sekali," luahnya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama komedi, Ejen 008.

Kembali sibuk

Tidak mahu menoleh ke belakang meratapi nasib diri, Azza bangkit dan semakin ligat di set penggambaran drama sebagai pelakon.

Sebagai anak seni, tiada bidang yang lain yang dekat di hatinya meskipun lakonan merupakan cabang yang sedikit berbeza daripada nyanyian.

Sudah rezekinya terletak di dunia lakonan, kini peminatnya boleh saksikan lakonannya di samping pelakon handalan Fauziah Datuk Ahmad Daud dalam drama komedi yang memaparkan kisah ejen pembantu rumah.

Drama bersiri yang telah bersiaran sejak 4 Februari lalu itu, turut membariskan pelakon Raisuddin Hamzah, Lisdawati, Roy Azman, Faizal Yusop, Maya Matahari, Amyza Adnan dan Bell Ngasri.

Selain berlakon, Azza tetap tidak lupakan minatnya dalam bidang nyanyian apabila dia kini muncul dengan single terbaru yang berjudul Boleh Jalan ciptaan komposer terkenal Edry KRU.

Mengakui perkembangan kerjaya nyanyian agak terbatas semuanya gara-gara dia menguruskan sendiri semua hal yang berkaitan bidang nyanyian tanpa bantuan seorang pengurus.

"Buat masa ini, saya lebih selesa menguruskan perjalanan karier seni sendiri tanpa mengguna khidmat pengurus. Ia lebih mudah. Meskipun harga lagu yang dibeli daripada Edry agak mahal tetapi saya tidak kisah, asalkan saya berpuas hati dengan hasil dan kualitinya," ucap Azza mengenai lagu yang dirakam dua tahun yang lalu itu.

Walaupun sudah lama hilang dari dunia nyanyian, tegas Azza yang pernah bercadang menghasilkan sebuah album mini, dia masih menerima undangan persembahan pentas.

"Berlakon tetap berlakon tetapi bakat nyanyian yang ada saya gunakan sebaik mungkin untuk cari rezeki. Selagi ada undangan, selagi itu saya akan menyanyi walaupun tidak seaktif dulu," ungkapnya. - Kosmo

No comments:

Post a Comment