Friday, March 5, 2010

Kak Ani tidak suka bermusuh

Kegagalan perkahwinan keduanya bersama bekas ahli jawatan kuasa UMNO Tasek Gelugor, Datuk Muhammad Mustafa Idrus, 54, tahun lalu, ternyata memberikan impak yang besar terhadap kehidupan penyanyi irama etnik, Noraniza Idris, apatah lagi perkahwinan yang dibina bertahan selama 45 hari sahaja.

Malah dia turut diheret sama dalam kes perceraian bekas madunya, Mastura, yang sehingga kini masih ‘hangat’ diperkatakan. Akui berasa sangat tertekan dan malu untuk berdepan dengan khalayak ramai, Noraniza yang ditemui di pejabatnya, Noraniza Idris Production Ventures, di Sunway, Petaling Jaya, baru-baru ini, memberitahu, kontroversi itu hampir memusnahkan kehidupannya. Malah dek kontroversi itu juga, dia meminggirkan diri daripada anak-anak sendiri.

“Dah tiga bulan Kak Ani tak jumpa anak-anak dan Kak Ani memang sengaja nak diamkan diri dulu. Bukannya Kak Ani nak lepaskan tanggungjawab, tapi buat masa ini biarlah mereka hidup dengan cara mereka. Lagipun mereka rapat dengan atuk dan nenek mereka.

“Bukannya tak rindu, rindu sangat. Mereka pun ada call Kak Ani tanya bila nak jumpa. Kalau tak dapat call, mereka akan datang cari. Tapi kebetulan pula Kak Ani selalu tak ada sebab sibuk dengan urusan seni. Insya-Allah kalau semuanya dah berjaya nanti, Kak Ani sendiri yang akan datang bertemu mereka,” katanya yang memperoleh dua cahaya mata bersama penyanyi, Fareez.

Bertanyakan tentang hubungannya dengan bekas suami, Kak Ani berkata, hubungan mereka masih baik, malah beliau sentiasa menghubunginya untuk bertanyakan khabar.

“Saya sebenarnya simpati dengan apa yang berlaku ke atasnya. Pada saya dia suami yang baik, walaupun saya cuma berkahwin 15 hari saja. Apa pun, saya sudah pun memaafkan dia (Datuk). Tapi untuk bertemu dan keluar seperti dulu, tidak lagi,” katanya.

Menyentuh tentang Mastura, kata Kak Ani, dia mengharapkan kekeruhan yang berlaku antaranya dengan Mastura kembali jernih kerana dia tidak suka bermusuhan, jauh sekali mahu menyimpan dendam. Walaupun dia pernah mengeluarkan kenyataan ingin ‘menyaman’ Mastura kerana mengaitkan namanya dalam kes perceraiannya bersama Datuk, namun jelas Kak Ani, dia tidak sampai hati berbuat demikian.

“Masa tu, kita tengah marah dan tak dapat berfikir panjang. Saya tahu keadaan Mastura macam mana dan saya tak tergamak nak saman dia. Saya tahu dia tertekan jadi saya nak panjangkan lagi perkara ini,” katanya.



Kendalikan Akademi Tatihseni

Kak Ani kini sedang giat menubuhkan dan merencanakan Akademi Tatihseni, yang bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada semua generasi tentang kesenian negara kita.

Menurutnya, akademi tersebut bukan sahaja bertujuan untuk memberikan pendedahan tentang asas kesenian, tetapi menerapkan pendekatan jati diri kepada semua lapisan generasi seawal usia 5 hinggalah 25 tahun ke atas.

“Sebenarnya dah lama Kak Ani nak tubuhkan akademi seperti ini kerana apa yang Kak Ani nampak, kesenian etnik semakin dipinggirkan di negara kita. Jadi menerusi akademi ini, Kak Ani ingin terapkan minat serta mendidik masyarakat kita supaya lebih mengenali dan hargai identiti dan jati diri kita.

“Istimewanya akademi ini, ia bukan berakhir dengan sijil sahaja, tetapi Kak Ani sudah membuat pelbagai rancangan untuk ketengahkan bakat mereka. Selepas tamat khusus mereka akan terlibat dengan satu penjelajahan di beberapa zon untuk memanfaatkan bakat mereka sebagai artis seni dan artis budaya. Dengan program seperti ini, mereka akan dapat kembangkan bakat yang ada,” katanya yang turut mengimpikan agar akademi itu dapat direalisasikan seperti Akademi Fantasi yang boleh ditonton orang ramai.

Menurut Kak Ani, Akademi Tatihseni telah mula beroperasi sejak awal Februari lalu dan kini sedang dalam proses pengambilan pelajar. Pembelajaran yang mengambil tempoh tiga bulan ini boleh memuatkan 160 pelajar dalam satu semester dan bayaran yang dikenakan baginya adalah berpatutan dengan program yang disediakan.

Dalam perkembangan lain, penyanyi yang popular dengan lagu ‘Awallah Dondang’ dan ‘Dikir Puteri’ berkata, single keduanya ‘Kuasa Cinta’ bersama Black Mentor, baru sahaja siap dirakam. Malah album barunya yang juga berkonsepkan irama Etnik pula bakal siap sepenuhnya pada April ini. Antara komposer yang terlibat ialah, Edry Hashim, Hasmin Hudin, Cat Farish dan Raja Kobat.

“Kak Ani juga dalam proses untuk membuat buku rujukan bagi tujuan untuk mempromosikan pelancongan negara kita. Selain buku, Kak Ani juga sedang mengumpul 52 lagu tradisional etnik yang dipetik dari album-album Kak Ani untuk dijadikan satu pakej. Selain membaca, orang ramai juga boleh mendengar dan menghayati video klip tentang kesenian etnik kita,” katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment