Saturday, April 3, 2010

Lebih baik tidak cantik - Sheera

JAUH daripada kejutan budaya, perkataan seperti kamera, produksi dan artis glamor sudah mewarnai hidupnya semasa kecil. Sheera atau Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar sudah terbiasa sangat dengan situasi begitu kerana ibunya, Aznah Hamid, merupakan pelakon popular.

Sheera pula masuk ke gelanggang seni secara perlahan-lahan, bukan tiba-tiba.

Namun, saat ditanya bilakah kemuncak kariernya, gadis berusia 25 tahun ini menjawab pendek dan malu-malu: "Sekarang."

Menyokong pernyataan beraninya itu, dia menyingkap kembali populariti Halimah Jongang yang disiarkan di Astro Prima yang sekarang menjadi buah mulut penonton.

Pelbagai reaksi dan perspektif dilontarkan sewaktu drama bersiri itu muncul. Namun, si empunya karakter melihat segalanya beraura positif.

Daripada kaca matanya yang jernih, dia menilai watak Halimah dari sudut yang baik di samping membantu melonjakkan namanya.

"Sejak mendapat skrip telemovie Halimah Jongang hinggalah dijadikan drama bersiri, saya tahu ia sebuah produk yang dapat memberi semangat kepada golongan bergigi jongang.

"Ada mesej moral di situ. Malangnya ia bertukar kontroversi kerana kononnya ada unsur ejekan.

"Saya harap khalayak dapat memahami isi cerita dan menilainya, atau lihat dari sudut hiburan sahaja. Tiada niat lain," ujarnya ikhlas.

Kata Sheera, dia sebenarnya berasa tersanjung dengan respons peminat khususnya si cilik yang masih mengenalinya walaupun dia tidak memakai gigi palsu yang jongang di luar set penggambaran.

Kanak-kanak yang jujur masih mengenali dan menyukai lakonannya.

Meneliti watak-watak yang pernah diberikan kepadanya, jelas dia sering mendapat watak yang baik-baik sahaja.

Air mukanya yang manis membuatkan Sheera terbias karakter sebegitu.

Kurang cantik

Hinggalah akhirnya dia diberikan watak 'kurang cantik' iaitu Halimah.

Halimah yang jongang berbeza daripada watak gadis manis dan baik yang telah sebati dalam lakonan Sheera selama ini.

"Saya lebih suka diberi watak perempuan tidak cantik seperti itu. Maksudnya tidak perlu bercantik-cantik dan berdandan sakan.

"Memikirkan kembali, sebenarnya lebih baik membawa karakter sebegitu daripada watak perempuan seksi atau separuh bogel," telus dia memberi pendapat.

Menyingkap kembali emosi dan antusias seawal umur belasan tahun, jujur Sheera dia berlakon bukan untuk memperjuangkan bakat sebaliknya seronok melihat jumlah wang ringgit yang masuk ke dalam akaun banknya.

"Memang dulu saya tidak serius. Berlakon hanya untuk memperoleh pendapatan yang saya anggap mewah.

"Tetapi semua itu sudah berubah," senyum gadis pemalu ini.

Hanya setelah dia menyedari bahawa tugasan ini boleh memberinya pendapatan buat menampung keluarga sekali gus bakat yang ada perlu disalurkan secara serius, dia nekad menjadi pelakon.

Mengikut jejak ibu, Sheera mengiyakan pepatah ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Dia bersyukur dengan keyakinan pengarah Datuk Yusuf Haslam yang memberinya ruang daripada watak kecil hinggalah wajah utama siri Janji Diana.

Walaupun kehidupannya semenjak kecil sudah terbiasa dengan kehidupan aktres, masih ada cabaran yang perlu ditempuhi.

Kenangan manis melihat pentas lakonan pada awal usia tidak menjamin perjalanan yang sempurna setelah dewasa.

Klon ibu

"Pertama, saya disuruh menguruskan badan bagi membawa beberapa watak. Faktor fizikal saya yang agak besar adalah antara ujian yang perlu saya hadapi.

"Sukar juga untuk melakukannya kerana saya memang gemar 'menghayati' makanan," ujarnya ketawa mengenang syarat tersebut.

Ditanya adakah dia mengikuti diet khusus selepas menerima tawaran berlakon itu, Sheera sekadar menggelengkan kepala.

Apa yang dilakukannya ialah cuba mengurangkan makan malam dan menjaga pemakanan dengan betul.

Imbasnya, aktiviti sukan yang menjadi kegemarannya sewaktu di sekolah dahulu dipercayai memberi kesan kepada bentuk fizikalnya.

"Saya aktif bersukan seperti merejam lembing dan bola baling. Mungkin sebab itu rangka saya di bahagian atas nampak besar," beritahunya.

Pada masa itu, dia sedar cabaran pertama ini boleh dilalui jika berat badannya dapat diturunkan.

Namun, ujian kedua iaitu terbias wajah ibu, aktres terkenal Aznah Hamid, akan kekal sampai bila-bila. Fakta itu tidak mungkin berubah ditelan waktu.

"Orang memang kata saya klon mama.

"Saya curi muka dan suara mama, kata orang," ujarnya yang berasa kecil hati bahkan marah apabila ada minoriti khalayak yang tidak mengenali Aznah Hamid.

Baginya nama itu perlu diambil berat lantaran sumbangannya yang besar dalam bidang seni lakon tempatan.

"Saya boleh menjadi emosi kalau Aznah Hamid tidak dikenali orang," begitu sanjungan si anak terhadap ibunya.

Dengan membawa nama ibu sebagai rujukan dan meneruskan legasi lakonan wanita itu, Sheera menunjukkan sisi seriusnya.

Kini dia sibuk bergelar pelakon sepenuh masa.

Biarpun diawali dengan filem dan sekarang menjadi aktres drama, Sheera bersyukur dengan keyakinan khalayak terhadap penampilan seninya.

"Syukur rezeki berterusan. Kini saya sibuk dengan Si Capik musim ketiga.

"Begitu juga penggambaran Kalau Tidak Kerana Puan sebelum kembali ke siri Gerak Khas," ujarnya yang kini meletakkan berlakon sebagai punca rezeki untuk diri dan keluarganya.

Cita-cita besarnya sekarang ialah mahu bergelar produser.

Dia yakin mampu terutama dengan restu ibu. - Kosmo

No comments:

Post a Comment