Friday, December 23, 2011

Jamal diarah keluar Pengasih

KUALA LUMPUR - Selepas hampir lima tahun penyanyi Jamal Abdillah atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali (gambar kecil) menjadi penghuni rumah Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) di Bukit Tunku di sini, penyanyi tersohor itu dikatakan telah diarah keluar oleh pihak pengurusan pusat berkenaan pada awal November lalu.

Penyanyi itu dikatakan meninggalkan rumah tersebut pada awal November lalu setelah dia menerima surat arahan supaya keluar dari rumah perlindungan dan pemulihan akhlak itu yang disediakan untuk golongan penagih dadah.

Jamal, 52, yang ditemui selepas sidang akhbar Karnival Sehari Bersama Jamal Abdillah dan Pelancaran Album Raja Pop 2 di pejabat Warner Music Malaysia di sini semalam bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara tersebut tetapi mengaku lebih tenang duduk di luar berbanding di Pengasih.

"Saya lebih tenang berada di luar (Pengasih) daripada duduk di dalam. Kalau boleh saya tak mahu tumpang orang dan nak duduk di rumah sendiri.

"Saya minta maaf kerana tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara ini. Tunggulah nanti saya adakan sidang akhbar bagi menjelaskan isu ini," katanya yang kini menyewa sementara menunggu rumah baharunya yang dijangka siap pada bulan Februari tahun hadapan. - Kosmo

Jamal Abdillah Tenang Selepas Keluar Rumah Pengasih

PETALING JAYA: Penyanyi popular Jamal Ubaidillah Ali atau lebih dikenali sebagai Jamal Abdillah mengaku lebih tenang menjalani kehidupan seorang diri selepas meninggalkan rumah perlindungan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), awal November lalu.

Katanya, dia kini menjalani kehidupannya seperti biasa dan sibuk dengan beberapa perniagaan yang dijalankan.

"Saya berasa lebih tenang menjalani kehidupan seharian saya berbanding ketika berada “di dalam” (rumah Pengasih). Lagi pula saya tidak mahu menumpang terlalu lama di rumah orang,

"Insya-Allah selepas rumah saya siap awal tahun depan saya akan memulakan hidup baru di sana," katanya ketika ditemui di majlis minum petang bersama Jamal Abdillah, di sini, Khamis.

Jamal diminta mengulas tentang tindakannya keluar dari rumah Pengasih yang telah diduduki lebih lima tahun.

Bagaimanapun, dia enggan menjawab tentang tuduhan pengerusi Pengasih yang kecewa terhadap sikapnya sepanjang berada di rumah perlindungan tersebut.

"Saya mempunyai bukti yang kukuh terhadap sumbangan saya kepada Pengasih jika dia mendakwa saya tidak mempunyai apa-apa sumbangan.

"Namun ini bukan masa yang sesuai, mungkin nanti saya akan adakan satu sidang media untuk menjelaskan perkara sebenar," katanya.

Tambahnya, tuduhan yang dilemparkan pihak pengasih sedikit sebanyak memberi tekanan dan menjejaskan reputasinya sebagai seorang artis.

"Perkara ini memberi tekanan pada saya dan mengganggu kehidupan saya terutamanya berhadapan dengan tanggapan masyarakat luar dan peminat," ujarnya. - Mstar

Ramli MS Berpindah Selepas 10 Tahun Tinggal Di Hotel

PETALING JAYA: Akhirnya, konduktor muzik terkenal, Datuk Ramli Mohamed Salleh atau Ramli MS, membuat keputusan untuk berpindah ke rumah yang baru dibelinya awal tahun depan selepas 10 tahun menetap di sebuah hotel.

Ramli berkata, sudah sampai masanya untuk dia memikirkan masa depan dengan memiliki sebuah rumah yang selesa agar dapat tinggal bersama ibunya yang masih lagi menetap di Singapura.

"Antara sebab saya tinggal di hotel selama ini kerana kemudahan yang disediakan memudahkan saya yang sentiasa sibuk menguruskan kerjaya seni dan tidak perlu nak fikir tentang masalah rumah bersepah, keselamatan dan sebagainya.

"Bagaimanapun, saya juga perlu memikirkan tentang masa depan. Insya-Allah saya akan membawa ibu bersama-sama untuk berpindah sekitar bulan Januari atau Februari akan datang," katanya ketika ditemui di hotel penginapan di sini.

Tambah Ramli, dia juga akan mengubahsuai salah satu bilik di rumah itu untuk dijadikan sebuah studio mini bagi memudahkan dirinya untuk menghabiskan kerja-kerja seninya itu.

Dalam pada itu, Ramli menafikan sekeras-kerasnya bahawa perpindahan tersebut dibuat kerana bakal menamatkan zaman dudanya.

"Sikap saya lain, banyak perkara yang perlu diuruskan dulu seperti anak-anak, kerjaya dan urusan pembelian rumah baru. Jadi saya tak terfikir pun untuk berkahwin buat masa ini.

"Tapi semestinya saya mahu kahwin satu hari nanti," katanya berseloroh.

Bercerita tentang hidupnya sepanjang 10 tahun menetap di hotel, Ramli berkata tiada memori yang indah untuk diingati dek kerana terlalu fokus dengan kerjayanya, tetapi gembira, pekerja hotel sentiasa melayannya dengan baik.

"Memandangkan sudah lama saya tinggal di sini, mereka telah memberi kebebasan untuk saya.

"Bayangkan, mereka turut membenarkan saya memasak di dapur hotel. Alhamdulillah, saya dilayan dengan baik. Mungkin selepas berpindah nanti saya akan rasa perbezaannya.

"Lebih-lebih lagi dari segi penjagaan dan sekuriti rumah. Harap-harap saya dapat menguruskannya dengan baik," kata Ramli. - Mstar

Thursday, December 22, 2011

Yusry & Lisa Umum Tarikh Nikah Sabtu Ini


PETALING JAYA: Selepas sekian lama berteka-teki mengenai tarikh perkahwinan mereka, pasangan artis Lisa Surihani dan Yusry Abdul Halim akan membuat pengumuman istimewa mengenai perkara itu pada Sabtu ini.

Jemputan mengenai pengumuman berkenaan telah dihantar oleh pihak KRU Studios kepada pihak media pada petang Khamis.

Majlis berkenaan akan diadakan pada pukul 10.30 pagi di Hotel Marriott, Putrajaya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan KRU Studios, Norman Abdul Halim yang juga abang kepada Yusry ketika dihubungi bagi mengesahkan perkara itu hanya ketawa dan memberitahu akan menjelaskan perkara sebenar kepada pihak media pada hari berkenaan.

"Ia merupakan satu pengumuman istimewa dan pastinya ia akan diberitahu pada majlis nanti. Kalau saya beritahu sekarang tak ada kejutanlah," katanya berseloroh.

Pada pengumuman itu nanti, ibu bapa Yusry iaitu Abdul Halim dan Zarina Fenner serta ibu Lisa, Siti Amira Ahmad juga akan turut serta.

Difahamkan Yusry dan Lisa akan bernikah pada awal tahun depan yang mana majlis berkenaan akan mendapat liputan secara langsung menerusi saluran Astro.

Pasangan tersebut sudah mula rapat sejak Mac lalu dan sering berhubungan menerusi telefon bimbit masing-masing sejak setahun yang lepas.

Kemudian kedua-dua mereka membuat pengakuan pertama pada bulan Jun bahawa mereka sedang menjalinkan hubungan lebih daripada seorang kawan dan menganggap ia sebuah perhubungan yang matang. - Mstar

PMR: Didie Alias Bangga Anak Dapat 8A

PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Didie Alias menganggap kejayaan anak ketiganya, Nur Dinie Ridzuan, 15, merangkul 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebagai satu hadiah paling istimewa buat dirinya.

Didie Alias berkata kejayaan anaknya dalam PMR yang diumumkan Khamis itu bagaikan pengubat kepada semua hasil penat lelahnya selama ini.

"Ketika nama Nur Dinie diumumkan di dewan Sekolah Kebangsaan Bukit Indah, Ampang, saya sendiri terkejut dan tidak percaya kerana hanya tiga orang sahaja yang diumumkan mendapat 8A.

"Sebagai seorang ibu sudah tentu ada perasaan bangga dan ini merupakan hadiah paling istimewa buat saya. Biar apa juga orang ingin kata tentang saya namun kejayaan ini membuktikan saya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu dengan baik," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.

Ditanya tentang kunci kejayaan anaknya, Didie berkata dia sentiasa memantau pembelajaran setiap anaknya biarpun sibuk dengan kerjaya.

"Saya tidak nampak dia belajar 24 jam tetapi saya yakin dia menumpukan perhatian sewaktu di sekolah selain mengikuti kelas tambahan di luar waktu sekolah.

"Sebagai ibu sudah tentu saya pantau setiap perkembangan persekolahan dan prestasi akademiknya dari semasa ke semasa," ujarnya.

Sementara itu, jelas Didie dia masih belum merancang sebarang hadiah sebagai ganjaran atas kejayaan tersebut.

"Saya tidak janjikan apa-apa pada dia dan dia juga hanya minta doa dari saya untuk berjaya cemerlang PMR ini," katanya.

Selain Nur Dinie, Didie juga mempunyai empat lagi cahaya mata hasil perkahwinan pertamanya dengan pelakon Ridzuan Hashim iaitu Nur Dania, Muhammad Daniel dan Nur Diyana dan Nur Dayini. - Mstar

Wednesday, December 21, 2011

Chef Wan Enggan Bersemuka Dengan Adlin

PETALING JAYA: Tukang masak selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan enggan bersemuka dengan Adlin Aman Ramli ekoran rasa kurang senang pelakon itu terhadapnya selepas dikritik hebat sepanjang program Maharaja Lawak Mega (MLM) berlangsung.

Chef Wan berkata, tidak ada keperluan untuk menjernihkan keadaan selepas Adlin yang tersingkir daripada MLM pada minggu lepas, melancarkan 'perang status' di laman sosial Facebook.

"Saya tak akan merendahkan martabat diri saya sepertinya (Adlin) iaitu orang yang tidak matang. Lagipun, siapa dia untuk saya pergi berjumpa?," soalnya yang dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

'Perang Facebook' yang dilancarkan Adlin pada Ahad lalu bermula apabila dia bengang dengan komen negatif dalam entri Facebook Chef Wan selain sering menerima kritikan pedas sewaktu melakukan persembahan di MLM.

Dalam entri tersebut, Chef Wan menyifatkan Adlin sebagai kurang sopan kerana pernah mempersendakan arwah bapanya sendiri iaitu pelakon A.R Tompel dalam persembahan yang dibawakan.

Adlin pula menolak dakwaan tersebut dan menganggap Chef Wan tidak faham dengan lawak yang dipersembahkan.

Bagaimanapun kata Chef Wan, sepatutnya Adlin yang mempunyai pengalaman sebagai juri program Akademi Fantasia (AF) tidak perlu melatah tentang komen yang diberikannya memandangkan dia juga seorang juri yang 'bermulut pedas'.

"Dia kritik orang boleh, tetapi tidak boleh pula terima kritikan orang. Karakternya sudah cukup menunjukkan dirinya yang sebenar.

"Sebagai seorang selebriti yang mempunyai pengikut yang ramai, dia perlu menunjukkan persembahan lawak yang positif dan secara amnya tidak membabitkan isu-isu keluarga, agama atau persendakan orang.

"Perlukah kita yang mempunyai adat dan budaya sopan yang tinggi mengikuti pelawak-pelawak Barat yang juga mampu membogelkan diri mereka untuk dijadikan bahan lawak? Pada pendapat saya, mana yang baik, kita ambil, yang buruk pula kita abaikan," tegas bapa kepada dua orang anak ini.

Terima anugerah

Sementara itu, Chef Wan telah menerima Anugerah Khas Menteri Pelancongan pada Malam Gala Anugerah Pelancongan Malaysia yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre, Selasa.

Katanya, ia merupakan penghormatan yang amat bermakna setelah 25 tahun memberi komitmen sepenuhnya dalam memperkenalkan masakan Malaysia kepada dunia.

"Terasa segala usaha, komitmen dan pengorbanan yang diberi dalam kerjaya ini berbaloi. Pengiktirafan yang diberikan memberikan semangat lebih untuk memperkenalkan masakan Malaysia kepada dunia," kata Chef Wan yang akan sibuk pada tahun depan mengendalikan beberapa program masakan di beberapa saluran televisyen.

Selain Chef Wan, pereka kasut terkenal Datuk Jimmy Choo turut menerima anugerah khas tersebut. - Mstar

AC Mizal Sudah Boleh Dipanggil Datuk

KUALA LUMPUR: Pengacara dan usahawan AC Mizal, 41, mengesahkan penerimaan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk bersempena sambutan hari keputeraan Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah ke-81 pada Khamis.

Pengesahan AC itu sekaligus menepis pelbagai spekulasi yang mempertikaikan pengurniaan tersebut sebelum ini.

Menjawab tentang isu gelaran Datuk itu, AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini, berkata surat pengurniaan berkenaan sebenarnya sudah diterimanya sejak sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-79 lagi.

Bagaimanapun, upacara pengurniaan kepadanya itu tertangguh kerana dia perlu mengikut giliran senarai penerima darjah kebesaran itu sebelum ini sehingga mencetuskan pertikaian di kalangan orang ramai.

"Pada hari ini (Rabu) saya baru sahaja terlibat dengan sesi latihan untuk upacara penganugerahan Datuk bersempena ulang tahun keputeraan baginda Sultan Pahang yang ke-81.

"Saya berharap dengan pengurniaan Datuk pada esok (Khamis) akan menjawab segala kekeliruan yang tercetus sebelum ini," katanya.

AC Mizal ditemui pada sidang media majlis pelancaran laman sosial pertama Malaysia, mface di Hotel Doubletree by Hilton, di sini, malam Rabu. - Mstar

Thursday, April 15, 2010

Nasha Mahu Perkahwinannya Berwalikan Bapa Kandung

TERMENUNG seketika Nasha Aziz sewaktu diajukan persoalan sama ada bapanya, Abdul Aziz Mohd Ali akan menjadi wali kepadanya semasa perkahwinannya pada Jun ini.

"Anda tanya saya? Saya juga tanya diri sendiri... tetapi ia berlaku sewaktu saya bertunang dulu, saya mengundangnya tetapi dia tidak hadir.

"Bagaimanapun, barangkali.... saya tidak tahu. Saya akan buat yang terbaik pada masa depan, untuk perkahwinan saya. Saya akan pergi dan memintanya menjadi wali saya," kata model dan aktres jelita ini.

Nasha ditemui mStar Online sewaktu menghadiri Pameran Pesona Mutiara Rafflesia di Muzium Negara baru-baru ini.

Pun begitu, kes mahkamah membabitkan Nasha, 39, dan bapanya sedikit sebanyak merenggangkan perhubungan anak-dan-ayah tersebut.

Abdul Aziz, 61, seorang guru silat sebelum ini mengemukakan saman terhadap Nasha, yang nama sebenarnya Noraishah Abdul Aziz, berhubung artikel bertajuk "Jangan tanya hal peribadi" dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 24 Oktober 2004 yang mendakwa Abdul Aziz bukan bapa kandungnya.

Abdul Aziz dalam pernyataan tuntutannya berkata beliau adalah bapa kandung Nasha dan mendakwa perkataan fitnah di dalam artikel itu telah menyebabkan perasaan beliau terseksa, memalukan dan mencemarkan maruahnya.

Beliau memohon ganti rugi, faedah, kos dan faedah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah dengan mendakwa artikel itu boleh difahamkan sebagai bermaksud yang beliau sudah meninggal dunia.

Nasha, dalam pernyataan pembelaannya menjelaskan bahawa perkataan "bapa" dalam temu bual dengan akhbar itu adalah merujuk kepada bapa saudaranya, Abdul Aziz Hathim, yang membesarkannya.

Pelakon itu tidak menafikan bahawa Abdul Aziz ialah bapa kandungnya tetapi beliau menganggap bapa saudaranya sebagai bapa dalam hidupnya.

Biarpun kesudahannya adalah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Nasha membayar ganti rugi am RM10,000 kepada bapanya, Nasha tetap menyayanginya.

Bukankah air dicincang tidak akan putus? Nasha mendambakan bapa kandungnya sanggup melupakan kisah lampau dan menjadi walinya. - Mstar

Wednesday, April 14, 2010

Mawi Mencari Jawapan Di'boo'

PERISTIWA di'boo' penonton ketika malam Anugerah Bintang popular yang berlangsung baru-baru ini, penyanyi dan penerbit, Asmawi Ani memberitahu perkara tersebut masih menimbulkan persoalan kepadanya.

Menurut penyanyi kelahiran Felda Taib Andak, Johor, ini, dia keliru dan tertanya-tanya kenapa perkara begitu berlaku kepadanya di dalam majlis yang gilang gemilang itu.

"Saya sendiri tertanya-tanya kenapa perkara begitu boleh terjadi kepada saya, saya tidak buat salah. Secara jujur kalau boleh saya nak tahu jawapannya.

"Bagi saya kalau mereka tidak suka, tidak perlu 'boo'. Sebab kita datang ke sesebuah majlis adalah untuk memeriahkan majlis dan beri sokongan bukan untuk merosakkan atau memalukan orang.

"Saya sedih sebab sebelum ini belum pernah terjadi perkara-perkara sebegitu dan saya harap ia tidak berulang pada majlis anugerah yang akan datang," ujarnya yang bakal mengadakan persembahan pada Anugerah Industri Muzik akan datang.

Dalam pada itu, Mawi yang baru sahaja keluar dengan produk terbarunya, telemovie Jiwa Kacau pada 11 April lalu memberitahu pembabitannya dalam bidang produksi adalah sebagai langkah untuk masa akan datang.

"Industri hiburan terlalu besar, bukan hanya bidang nyanyian sahaja. Saya cuba beralih ke bidang produksi bagi memantapkan lagi empayar saya.

"Saya mahu peminat saya tahu saya masih aktif dalam industri ini. Saya juga terfikir tak kan mahu menyanyi sampai tua," jelasnya.

Selain itu, ketika ditanya tentang populariti yang semakin menurun, Mawi memberitahu dia sudah bersedia menghadapinya.

"Sebelum saya menjadi artis, saya berada di bawah jadi kalau sekalipun saya jatuh dan tidak popular saya tidak rasa terkejut sebab saya pernah melaluinya.

"Hidup ini seperti roda, kadang kala kita berada di atas dan kadang kala di bawah, saya perlu menerimanya sebab itulah lumrah kehidupan," ujarnya.

Raja SMS ini turut mengakui hal-hal peribadinya sedikit sebanyak menyumbang kepada kejatuhannya.

"Saya akui hal peribadi saya memberi kesan sampingan kepada populariti namun ia bukan faktor utama. Saya sedar tahun lalu saya agak slow sedikit.

"Insya Allah tahun ini saya akan keluar dengan lebih banyak drama dan sebuah album duet dan filem Magika," katanya. - Mstar

Monday, April 12, 2010

Tiada orang ketiga

KUALA LUMPUR: Pelakon jelita yang juga peragawati terkenal, Aleeza Kassim mengesahkan dia sudah diceraikan dengan talak satu oleh suaminya Mohd Fauzi Che Ros, 45, yang juga seorang ahli perniagaan, Februari lalu di rumah mereka, di Hyatt Saujana, Subang Jaya.Bagaimanapun pelakon berusia 39 tahun itu mendakwa perkahwinan yang hanya bertahan hampir empat tahun tanpa cahaya mata itu bukan berpunca daripada orang ketiga, Aleeza yang kini sedang popular menerusi drama bersiri arahan Rashid Sibir berjudul, `Kasih Tercipta' bersama dua lagi pelakon popular, Nasha Aziz dan Erra Fazira itu hanya meminta agar pihak media menanti keputusan mahkamah pada 21 April ini bagi mendengar keputusan kesnya itu.

Ketika dihubungi Harian Metro, pada mula dia enggan mengulas mengenai perkara itu, tetapi akhirnya mengakui desas-desus mengenai perceraiannya itu.

Pelakon popular yang juga bintang filem kontroversi, Panas sekitar 90-an, serta pernah membintangi filem XX Ray 2 dan Susuk itu akur ketentuan yang menimpa dirinya dan mengakui ia berpunca daripada perselisihan faham mereka berdua.

Perkahwinannya dengan Fauzi yang berstatus duda beranak dua ketika itu termeterai pada 16 Julai 2006 di Masjid Wilayah Kuala Lumpur, sebelum dirai pada majlis resepsi sebulan kemudian di Hotel Palace of Golden Horses.

Menurut peragawati yang juga pemilik Akademi Peragaan Aleeza Kassim itu, dia redha dengan dugaan yang menimpa dirinya mengharapkan keajaiban akan berlaku terhadap kes penceraiannya itu.

“Suami menceraikan saya pada Februari lalu atas masalah yang berpunca daripada kami berdua. Namun, biarlah masalah itu menjadi rahsia kami.

“Tertekan juga sepanjang beberapa bulan ini kerana ada saja teman akrab yang bertanya. Mungkin mereka sudah dapat menghidu. Bukan saya ingin mengelak atau menipu sebaliknya perkara seperti ini masih baru bagi saya. Sesekali saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk bertindak atas perkara yang berlaku.

“Namun, hubungan antara saya dan bekas suami masih baik dan kami dalam proses memperbaiki perkahwinan kami. Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana segala-galanya masih dalam proses penyelesaian,” katanya.

Aleeza dikatakan hadir bersama Fauzi ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya sekitar Mac lalu bertujuan meminta khidmat nasihat pihak mahkamah.

Bagaimanapun perbicaraan kes mereka ditangguh sehingga 21 April ini untuk pembentangan lanjut.

“Saya masih sayangkan perkahwinan ini dan ingin menyelamatkan rumah tangga kami,” katanya. - Mymetro

Saturday, April 3, 2010

Lebih baik tidak cantik - Sheera

JAUH daripada kejutan budaya, perkataan seperti kamera, produksi dan artis glamor sudah mewarnai hidupnya semasa kecil. Sheera atau Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar sudah terbiasa sangat dengan situasi begitu kerana ibunya, Aznah Hamid, merupakan pelakon popular.

Sheera pula masuk ke gelanggang seni secara perlahan-lahan, bukan tiba-tiba.

Namun, saat ditanya bilakah kemuncak kariernya, gadis berusia 25 tahun ini menjawab pendek dan malu-malu: "Sekarang."

Menyokong pernyataan beraninya itu, dia menyingkap kembali populariti Halimah Jongang yang disiarkan di Astro Prima yang sekarang menjadi buah mulut penonton.

Pelbagai reaksi dan perspektif dilontarkan sewaktu drama bersiri itu muncul. Namun, si empunya karakter melihat segalanya beraura positif.

Daripada kaca matanya yang jernih, dia menilai watak Halimah dari sudut yang baik di samping membantu melonjakkan namanya.

"Sejak mendapat skrip telemovie Halimah Jongang hinggalah dijadikan drama bersiri, saya tahu ia sebuah produk yang dapat memberi semangat kepada golongan bergigi jongang.

"Ada mesej moral di situ. Malangnya ia bertukar kontroversi kerana kononnya ada unsur ejekan.

"Saya harap khalayak dapat memahami isi cerita dan menilainya, atau lihat dari sudut hiburan sahaja. Tiada niat lain," ujarnya ikhlas.

Kata Sheera, dia sebenarnya berasa tersanjung dengan respons peminat khususnya si cilik yang masih mengenalinya walaupun dia tidak memakai gigi palsu yang jongang di luar set penggambaran.

Kanak-kanak yang jujur masih mengenali dan menyukai lakonannya.

Meneliti watak-watak yang pernah diberikan kepadanya, jelas dia sering mendapat watak yang baik-baik sahaja.

Air mukanya yang manis membuatkan Sheera terbias karakter sebegitu.

Kurang cantik

Hinggalah akhirnya dia diberikan watak 'kurang cantik' iaitu Halimah.

Halimah yang jongang berbeza daripada watak gadis manis dan baik yang telah sebati dalam lakonan Sheera selama ini.

"Saya lebih suka diberi watak perempuan tidak cantik seperti itu. Maksudnya tidak perlu bercantik-cantik dan berdandan sakan.

"Memikirkan kembali, sebenarnya lebih baik membawa karakter sebegitu daripada watak perempuan seksi atau separuh bogel," telus dia memberi pendapat.

Menyingkap kembali emosi dan antusias seawal umur belasan tahun, jujur Sheera dia berlakon bukan untuk memperjuangkan bakat sebaliknya seronok melihat jumlah wang ringgit yang masuk ke dalam akaun banknya.

"Memang dulu saya tidak serius. Berlakon hanya untuk memperoleh pendapatan yang saya anggap mewah.

"Tetapi semua itu sudah berubah," senyum gadis pemalu ini.

Hanya setelah dia menyedari bahawa tugasan ini boleh memberinya pendapatan buat menampung keluarga sekali gus bakat yang ada perlu disalurkan secara serius, dia nekad menjadi pelakon.

Mengikut jejak ibu, Sheera mengiyakan pepatah ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Dia bersyukur dengan keyakinan pengarah Datuk Yusuf Haslam yang memberinya ruang daripada watak kecil hinggalah wajah utama siri Janji Diana.

Walaupun kehidupannya semenjak kecil sudah terbiasa dengan kehidupan aktres, masih ada cabaran yang perlu ditempuhi.

Kenangan manis melihat pentas lakonan pada awal usia tidak menjamin perjalanan yang sempurna setelah dewasa.

Klon ibu

"Pertama, saya disuruh menguruskan badan bagi membawa beberapa watak. Faktor fizikal saya yang agak besar adalah antara ujian yang perlu saya hadapi.

"Sukar juga untuk melakukannya kerana saya memang gemar 'menghayati' makanan," ujarnya ketawa mengenang syarat tersebut.

Ditanya adakah dia mengikuti diet khusus selepas menerima tawaran berlakon itu, Sheera sekadar menggelengkan kepala.

Apa yang dilakukannya ialah cuba mengurangkan makan malam dan menjaga pemakanan dengan betul.

Imbasnya, aktiviti sukan yang menjadi kegemarannya sewaktu di sekolah dahulu dipercayai memberi kesan kepada bentuk fizikalnya.

"Saya aktif bersukan seperti merejam lembing dan bola baling. Mungkin sebab itu rangka saya di bahagian atas nampak besar," beritahunya.

Pada masa itu, dia sedar cabaran pertama ini boleh dilalui jika berat badannya dapat diturunkan.

Namun, ujian kedua iaitu terbias wajah ibu, aktres terkenal Aznah Hamid, akan kekal sampai bila-bila. Fakta itu tidak mungkin berubah ditelan waktu.

"Orang memang kata saya klon mama.

"Saya curi muka dan suara mama, kata orang," ujarnya yang berasa kecil hati bahkan marah apabila ada minoriti khalayak yang tidak mengenali Aznah Hamid.

Baginya nama itu perlu diambil berat lantaran sumbangannya yang besar dalam bidang seni lakon tempatan.

"Saya boleh menjadi emosi kalau Aznah Hamid tidak dikenali orang," begitu sanjungan si anak terhadap ibunya.

Dengan membawa nama ibu sebagai rujukan dan meneruskan legasi lakonan wanita itu, Sheera menunjukkan sisi seriusnya.

Kini dia sibuk bergelar pelakon sepenuh masa.

Biarpun diawali dengan filem dan sekarang menjadi aktres drama, Sheera bersyukur dengan keyakinan khalayak terhadap penampilan seninya.

"Syukur rezeki berterusan. Kini saya sibuk dengan Si Capik musim ketiga.

"Begitu juga penggambaran Kalau Tidak Kerana Puan sebelum kembali ke siri Gerak Khas," ujarnya yang kini meletakkan berlakon sebagai punca rezeki untuk diri dan keluarganya.

Cita-cita besarnya sekarang ialah mahu bergelar produser.

Dia yakin mampu terutama dengan restu ibu. - Kosmo

Wednesday, March 17, 2010

Jozan Show, Kapoww Menyusul Selepas Raja Lawak - Zizan

SELEPAS program realiti Raja Lawak melabuhkan tirainya baru-baru ini, kini pengacaranya Zizan Raja Lawak kembali sibuk dengan kerjaya lakonannya semula.

Menurut Zizan yang ditemui baru-baru ini, dia dan Johan akan kembali mengendalikan program bual bicara Jozan Show untuk musim kedua.

Program yang bakal memulakan rakamannya tidak lama lagi itu akan menampilkan pengisian yang lebih segar selain lawak jenaka daripada Zizan dan Johan bersama tetamu undangan.

"Selepas ini, saya dan Johan akan kembali dengan proses rakaman Jozan Show. Untuk musim baru ini, kita akan tampilkan pengisian yang sedikit berbeza.

"Namun, saya tak boleh ceritakan lebih lanjut tentang kelainan pada musim ini.

"Biarlah penonton tunggu dan lihat sendiri apabila musim baru ini bersiaran tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu, Zizan yang sudah tidak sabar menantikan tayangan filem sulung lakonannya Kapoww, berkata, sebagai promosi awal kepada orang ramai tentang filem komedi itu, produksi Tayangan Unggul bakal menghasilkan drama bersiri 13 episod.

Penghasilan drama bersiri itu bertujuan bagi memaparkan bahagian pengenalan atau prekuel kepada plot filem itu.

"Saya sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri Kapoww The Series sebanyak 13 episod.

"Drama ini memaparkan pengenalan kepada jalan cerita filem Kapoww yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.

"Penggambaran drama ini sudah pun bermula seminggu yang lalu. Ia akan dibahagikan kepada dua blok.

"Tujuh episod pertama akan disiarkan sebelum filem ini ditayangkan, manakala baki enam episod lagi akan disiarkan di TV selepas filem itu menemui penonton nanti," ujar Zizan. Mstar

Monday, March 15, 2010

Hampir batal perkahwinan

MAKKAH: Aktres popular, Umie Aida atau Umi Khalsum Rahmad Ali nyaris membatalkan pernikahannya dua hari sebelum rombongan keluarga dan rakan karibnya berangkat ke Tanah Suci Makkah.

Menurut pelakon berusia 36 tahun itu, keputusan berkenaan hampir diambil berikutan perasaannya yang berbelah bagi serta bimbang tidak mampu mencintai bakal suaminya, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan seperti diharapkan. “Selepas majlis berinai berlangsung Isnin lalu, tiba-tiba saya merasakan hati ini berbelah bagi. Saya juga takut tidak mampu untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri seperti diimpikan abang. “Barangkali perasaan itu hadir kerana saya pernah melalui pengalaman putus cinta,” katanya selepas majlis pernikahannya yang berlangsung jam 6.20 petang semalam (waktu tempatan).

Namun, semua keraguan itu hilang apabila melihat kesungguhan Khairuddin membawa dia dan rombongannya ke Kota Makkah demi menunaikan hajat yang diimpikan selama ini. “Dari situ saya melihat kesungguhan abang untuk mengotakan janjinya bernikah di hadapan Kaabah walaupun terpaksa melalui proses yang agak rumit,” katanya. Pasangan mempelai itu dinikahkan jurunikah, Maruwan Zakaria, berwalikan abangnya, Ahmad Reedzuan dengan sekali lafaz. Pada majlis itu, Umie menerima mas kahwin berjumlah Saudi Riyal 1,818.18 (RM1,663.63) dan sebentuk cincin berlian.

Umie kelihatan anggun mengenakan sepersalinan telekung rekaan Jovian Mandagie. Pada sebelah malamnya pula, pelakon utama filem Embun itu meraikan rombongan dalam satu majlis resepsi di sebuah restoran di hotel penginapan mereka. Rombongan ke tanah suci disertai seramai 20 orang termasuk ibu pengantin perempuan, Asmah Ali; kakaknya, Erma Fatima; penerbit, Ziela Jalil serta rakan terdekat.

Sekembalinya ke tanah air, Umie akan mengadakan majlis resepsi di Hotel One World, Bandar Utama yang dijadualkan pada 28 Mac ini. Antara tetamu kehormat yang dijangka hadir, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali - Mymetro

Monday, March 8, 2010

'Rumah tangga kami aman'

KUALA LUMPUR - Aktor Zamarul Hisham yang didakwa mempunyai hubungan dengan Fasha Sandha menafikan rumah tangga bersama aktres Diana Rafar sejak 10 bulan lalu sedang bergolak sebagaimana didakwa oleh beberapa akhbar mingguan dan blog-blog di Internet.

Zamarul, 39, memberitahu, keadaan rumah tangganya dengan Diana, 28, yang dibina pada 16 Mei itu berada dalam keadaan baik.

Malah bekas pemenang Aktor Terbaik melalui filem Di Ambang Misteri dalam Festival Filem Malaysia ke-18 pada 2005 itu memberitahu, dia memarahi Fasha kerana memuat turun gambar mereka berdua ketika terbabit dalam penggambaran drama Atilia. - Kosmo

Friday, March 5, 2010

Kak Ani tidak suka bermusuh

Kegagalan perkahwinan keduanya bersama bekas ahli jawatan kuasa UMNO Tasek Gelugor, Datuk Muhammad Mustafa Idrus, 54, tahun lalu, ternyata memberikan impak yang besar terhadap kehidupan penyanyi irama etnik, Noraniza Idris, apatah lagi perkahwinan yang dibina bertahan selama 45 hari sahaja.

Malah dia turut diheret sama dalam kes perceraian bekas madunya, Mastura, yang sehingga kini masih ‘hangat’ diperkatakan. Akui berasa sangat tertekan dan malu untuk berdepan dengan khalayak ramai, Noraniza yang ditemui di pejabatnya, Noraniza Idris Production Ventures, di Sunway, Petaling Jaya, baru-baru ini, memberitahu, kontroversi itu hampir memusnahkan kehidupannya. Malah dek kontroversi itu juga, dia meminggirkan diri daripada anak-anak sendiri.

“Dah tiga bulan Kak Ani tak jumpa anak-anak dan Kak Ani memang sengaja nak diamkan diri dulu. Bukannya Kak Ani nak lepaskan tanggungjawab, tapi buat masa ini biarlah mereka hidup dengan cara mereka. Lagipun mereka rapat dengan atuk dan nenek mereka.

“Bukannya tak rindu, rindu sangat. Mereka pun ada call Kak Ani tanya bila nak jumpa. Kalau tak dapat call, mereka akan datang cari. Tapi kebetulan pula Kak Ani selalu tak ada sebab sibuk dengan urusan seni. Insya-Allah kalau semuanya dah berjaya nanti, Kak Ani sendiri yang akan datang bertemu mereka,” katanya yang memperoleh dua cahaya mata bersama penyanyi, Fareez.

Bertanyakan tentang hubungannya dengan bekas suami, Kak Ani berkata, hubungan mereka masih baik, malah beliau sentiasa menghubunginya untuk bertanyakan khabar.

“Saya sebenarnya simpati dengan apa yang berlaku ke atasnya. Pada saya dia suami yang baik, walaupun saya cuma berkahwin 15 hari saja. Apa pun, saya sudah pun memaafkan dia (Datuk). Tapi untuk bertemu dan keluar seperti dulu, tidak lagi,” katanya.

Menyentuh tentang Mastura, kata Kak Ani, dia mengharapkan kekeruhan yang berlaku antaranya dengan Mastura kembali jernih kerana dia tidak suka bermusuhan, jauh sekali mahu menyimpan dendam. Walaupun dia pernah mengeluarkan kenyataan ingin ‘menyaman’ Mastura kerana mengaitkan namanya dalam kes perceraiannya bersama Datuk, namun jelas Kak Ani, dia tidak sampai hati berbuat demikian.

“Masa tu, kita tengah marah dan tak dapat berfikir panjang. Saya tahu keadaan Mastura macam mana dan saya tak tergamak nak saman dia. Saya tahu dia tertekan jadi saya nak panjangkan lagi perkara ini,” katanya.



Kendalikan Akademi Tatihseni

Kak Ani kini sedang giat menubuhkan dan merencanakan Akademi Tatihseni, yang bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada semua generasi tentang kesenian negara kita.

Menurutnya, akademi tersebut bukan sahaja bertujuan untuk memberikan pendedahan tentang asas kesenian, tetapi menerapkan pendekatan jati diri kepada semua lapisan generasi seawal usia 5 hinggalah 25 tahun ke atas.

“Sebenarnya dah lama Kak Ani nak tubuhkan akademi seperti ini kerana apa yang Kak Ani nampak, kesenian etnik semakin dipinggirkan di negara kita. Jadi menerusi akademi ini, Kak Ani ingin terapkan minat serta mendidik masyarakat kita supaya lebih mengenali dan hargai identiti dan jati diri kita.

“Istimewanya akademi ini, ia bukan berakhir dengan sijil sahaja, tetapi Kak Ani sudah membuat pelbagai rancangan untuk ketengahkan bakat mereka. Selepas tamat khusus mereka akan terlibat dengan satu penjelajahan di beberapa zon untuk memanfaatkan bakat mereka sebagai artis seni dan artis budaya. Dengan program seperti ini, mereka akan dapat kembangkan bakat yang ada,” katanya yang turut mengimpikan agar akademi itu dapat direalisasikan seperti Akademi Fantasi yang boleh ditonton orang ramai.

Menurut Kak Ani, Akademi Tatihseni telah mula beroperasi sejak awal Februari lalu dan kini sedang dalam proses pengambilan pelajar. Pembelajaran yang mengambil tempoh tiga bulan ini boleh memuatkan 160 pelajar dalam satu semester dan bayaran yang dikenakan baginya adalah berpatutan dengan program yang disediakan.

Dalam perkembangan lain, penyanyi yang popular dengan lagu ‘Awallah Dondang’ dan ‘Dikir Puteri’ berkata, single keduanya ‘Kuasa Cinta’ bersama Black Mentor, baru sahaja siap dirakam. Malah album barunya yang juga berkonsepkan irama Etnik pula bakal siap sepenuhnya pada April ini. Antara komposer yang terlibat ialah, Edry Hashim, Hasmin Hudin, Cat Farish dan Raja Kobat.

“Kak Ani juga dalam proses untuk membuat buku rujukan bagi tujuan untuk mempromosikan pelancongan negara kita. Selain buku, Kak Ani juga sedang mengumpul 52 lagu tradisional etnik yang dipetik dari album-album Kak Ani untuk dijadikan satu pakej. Selain membaca, orang ramai juga boleh mendengar dan menghayati video klip tentang kesenian etnik kita,” katanya. - Sinar Harian

Monday, March 1, 2010

Tiada Maaf Bagi Nabil, Saman Tetap Saman – Aminah Raphor

MINTALAH maaf berjuta kali pun, kesalahan yang dilakukan oleh pelakon komedi Ahmad Nabil Ahmad tidak akan dimaafkan oleh Pengarah dan Penerbit Bersama filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie (LPSdM), Aminah Raphor.

Baru-baru ini, juara Raja Lawak Musim Kedua itu didakwa telah melanggar kontrak dengan produksi SDAF Pictures Sdn Bhd iaitu tidak memberikan kerjasama semasa promosi filem itu dijalankan dan mengeluarkan kenyataan yang telah ‘menjatuhkan’ filem itu.

“Saya dan seorang lagi penerbit filem ini, Datuk Suhaimy Othman tetap akan menyaman Nabil kerana ramai yang enggan menonton LPSdM disebabkan kenyataannya semasa tayangan perdana filem itu.

“Saya mendapat tahu respons itu menerusi cakap-cakap orang di Internet. Itu pun sudah membuktikan yang penonton tidak mahu menontonnya,” jelasnya mengenai filem yang setakat ini telah berjaya mengutip RM2.1 juta.

Walaupun filem yang turut dilakonkan oleh aktres kontroversi Puteri Sarah itu telah selesai wajib tayang pada Khamis lalu namun masih ada sesetengah pawagam yang menayangkan filem itu.

“Produksi telah membelanjakan modal sebanyak RM1.8 juta untuk penggambaran filem itu. Namun, kami masih menanggung kerugian,” ujarnya yang pertama kali mengarah dan menerbitkan filem.

Aminah berpendapat, tindakan untuk menyaman Nabil bukan untuk menghukum pelakon itu semata-mata malah diharap dapat dicontohi oleh artis ‘segera’ yang lain.

“Kita bukan nak kenakan Nabil tetapi sebab perkara ini sudah ‘pecah’. Dia merupakan bintang baru ‘segera’ dan ramai lagi bintang baru yang glamor lahir daripada program realiti.

“Saya perlu buat perkara ini sebagai pengajaran untuk artis Malaysia kerana sesetengah daripada mereka ada yang tidak bertanggungjawab.

“Saya nak mereka semua beringat dan sedar agar tiada lagi perkara yang merugikan syarikat,” tegas Aminah yang turut merupakan pengarah teater.

Pada minggu ini, dia dan Suhaimy akan berbincang dengan peguam mereka berhubung kes saman itu.

“Setakat ini kami belum memutuskan jumlah saman ganti rugi yang akan dituntut ke atas Nabil,” tuturnya yang belum melunaskan 20 peratus bayaran terakhir kepada Nabil dan pelakon-pelakon lain.

Katanya, bayaran itu akan diberikan selepas mereka selesai tempoh promosi filem itu.

“Kami belum bincangkan lagi sama ada akan menjelaskan baki bayaran itu kepada Nabil atau tidak,” ujarnya.

Pada 14 Februari lalu, Nabil hanya membuat permohonan maaf terbuka dalam dua akhbar mingguan, termasuk Berita Minggu tetapi tidak secara terus kepada mereka selaku pengeluar filem berkenaan.

Aminah turut mengakui Bintang Paling Popular 2008 itu belum memberikan apa-apa tindakan terhadap produksi itu atau pun berdepan dengannya.

“Sejak insiden itu, Nabil tak pernah datang berjumpa dengan saya mahu pun memohon maaf. Tetapi dalam Galaksi di TV9 baru-baru ini, dia kata kalau nak saman, samanlah kerana tidak tahu nak buat apa,” tuturnya yang juga pensyarah Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Sebelum ini, Nabil dalam kenyataannya melahirkan perasaan kecewa terhadap filem lakonan sendiri, selain mendakwa pembikinan LPSdM tidak disempurnakan dengan baik. - Mstar

Friday, February 26, 2010

Tiada niat berlagak

Gara-gara lantang pertikai gaya hidup artis, sudah ada yang tidak senang dengan Wardina Saffiyah Fadhlullah

WANITA kacukan Australia-Acheh ini pada mulanya agak keberatan untuk memenuhi sesi fotografi sempena Maulidur Rasul, bimbang kisah kelantangan mempertikai gaya hidup artis Malaysia diungkit kembali. Justeru dia tidak mahu kemunculannya di dada akhbar di salah tafsir.

Namun dalam pada itu, Wardina Saffiyah Fadhlullah, 31, tetapi memenuhi permintaan Hip kerana katanya mahu menghormati tugas kami.

Tutur bicaranya lebih berhati-hati, enggan ada hati yang terusik. Tapi sebelum itu, ibu kepada tiga cahaya ini memohon maaf kepada pembaca dan meminta mereka supaya tidak menyalah erti kenyataannya. Dia tidak berniat mahu menunjuk pandai, jauh sekali mahu mengecam orang lain.

“Selepas kes itu, saya mahu mengambil sikap ‘low profile’. Saya tidak mahu lagi kisah itu disensasikan sebab itu pada mulanya saya berbelah bahagi mahu menerima undangan fotografi ini atau sebaliknya.

“Saya berharap kenyataan saya mengenai Maulidur Rasul ini tidak disalah erti. Saya tahu setiap orang mempunyai tafsiran yang berbeza. Apa yang ingin saya katakan adalah pendapat saya dan apa yang saya faham mengenai nabi junjungan kita Muhammad S.A.W.

“Dalam melakukan kebaikan, memang banyak cabaran yang perlu kita tempuhi. Nabi yang dikenali sebagai Al Amin iaitu manusia yang paling baik hingga ke hari ini pun masih lagi difitnah sama ada menerusi perkataan dan juga ilustrasi. Inikan pula kita manusia yang tidak sempurna,” kata Wardina.

Berbicara mengenai Maulidur Rasul yang jatuh pada 12 Rabiul Awal, kata wanita anggun ini, ia tidak seharusnya diingati pada hari itu saja malah usaha meraikan Maulidur Rasul dan kepayahan baginda dalam menegakkan syiar Islam perlu diingat setiap masa.

Jika mengenali dan menghayati usaha Rasulullah, wanita ini percaya kita pasti tersentuh dengan kecekalan Rasulullah. Walaupun dikeji, dihina malah ada yang mahu membunuhnya, Rasulullah tidak pernah mengenal erti putus asa dalam memperjuangkan agamanya.

“Bagaimana kita mahu menyayangi Rasulullah seandainya kita tidak mengenali baginda. Sambutan Maulidur Rasul bukan mengenai berarak saja. Apa kata pada hari ini kita luangkan masa menyelak sirah nabi untuk mengenali Rasulullah dengan lebih mendalam, kenali salasilah baginda serta hayati perjuangan baginda bersama sahabatnya.

“Sekarang ini kita ada internet, kalau tidak ada buku, tengok saja melalui internet. Semuanya yang anda ingin ketahui mengenai Nabi Muhammad S.A.W ada di situ. Kita tak perlu lagi susah payah mencari buku dan sebagainya. Kalau kita betul-betul faham perjuangan nabi, nescaya kita akan menitiskan air mata mengenangkan ketabahan baginda,” katanya.

Kagumi tiga wanita di hati Rasulullah

SELAIN Rasulullah, pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) turut mengagumi tiga wanita yang berada di hati Nabi Muhammad S.A.W iaitu Khadijah, Aishah dan Fatimah. Keistimewaan ketiga-tiga wanita itu dijadikan inspirasi oleh Wardina untuk memajukan dirinya.

Dia ingin menjadi seperti Aishah yang bijak dan berani meluahkan pendapatnya. Dia juga mahu menjadi seperti Khadijah yang bukan saja berkerjaya tetapi juga berjaya dan dia mengagumi anak kesayangan Rasulullah, Fatimah Az Zaharah yang cekal menempuhi hidup dengan penuh kesusahan.

“Mereka ini adalah ikon yang sebenar. Saya berharap semua wanita, bukan saya saja dapat menjadikan mereka sebagai sumber inspirasi. Kalau boleh duduk satu keluarga dan terangkan kepada anak-anak mengenai kisah mereka.

“Cuba bacakan buku cerita, karya berunsur keislaman kepada anak kerana apa yang dibaca akan mempengaruhi fikiran mereka. Sebab itu saya menghantar anak-anak ke sekolah Islam dari kecil agar mereka tahu semua ini. Saya hanya cuba yang terbaik, jika tidak menjadi di kemudian hari, saya menerimanya sebagai ketentuan Allah,” kata yang berharap umat Islam tidak lupa kepada Rasulullah.

Umat Islam tambah wanita itu, perlu memahami wasiat terakhir Rasulullah. Katanya, Rasulullah perlu sentiasa berada dalam ingatan kita. Sekiranya kita sentiasa mengingati dan memahami perjuangannya, pasti kita malu untuk mengingkari perintahnya.

“Saya sentiasa beringat supaya memperbaiki diri. Saya perlu pastikan saya melaksanakan apa yang saya katakan. Saya tidak boleh sekadar bercakap saja tetapi tidak sembahyang dan sebagainya. Saya malu mengaku sayang pada Rasulullah tetapi saya tidak sembahyang dan melakukan kemungkaran,” katanya.

•NAMA: Wardina Saffiyah Fadhlullah
•TARIKH lahir: 5 Jun 1979
•SUAMI: Ikhwan Johari
•ANAK: Amna Nafeesa, 7, Azra Sareera, 4, Imran Arrazi, 1 tahun.

- MSTAR