FLORIDA: Bintang golf Amerika Syarikat, Tiger Woods didakwa cuba merasuah isterinya, Elin Nordegren berjuta-juta dollar untuk kekal bersamanya.
Bagaimanapun, beliau tersilap kerana Elin, 30, didakwa tegas menuntut separuh daripada kekayaan Woods bernilai AS$600 juta (RM2 bilion) sebagai pampasan perceraian mereka yang akan dilaksanakan serta-merta.
Elin turut didakwa menuntut semua tiga anjing peliharaan mereka.
"Saya akan menyimpan anjing-anjing itu. Awak boleh bela anjing-anjing awak!" katanya.
Sumber rapat berkata, Elin turut menilai 18 wanita yang didakwa melakukan hubungan seks dengan Woods dan agak memeranjatkan beliau bersetuju dengan pandangan suaminya, Rachel Uchitel adalah yang terbaik.
Tawaran tambahan hak harta itu didakwa dibuat wakil peguam Woods kepada peguam Elin, Trope and Trope yang beribu pejabat di Los Angeles.
Tawaran itu didakwa dilakukan demi memulihkan kredibiliti Woods yang runtuh akibat pendedahan skandal seks, penggunaan ubat kuat dan juga tindakan penaja menamatkan kontraknya.
"Woods dan penasihatnya cuba memulihkan keadaan selepas pendedahan wanita yang mendakwa pernah melakukan seksnya dengan kini berakhir.
"Penasihatnya berasa, jika Woods mampu bertahan beberapa bulan lagi, peminat pasti akan melupakannya.
"Elin adalah kunci segalanya dan tawaran itu mengharapkan Elin kekal bersama Woods di mata umum meskipun hakikatnya mereka hidup berasingan.
"Andai bersetuju, Elin bakal menerima pampasan tinggi harta Woods dan berkongsi segala pendapatan yang diperolehnya di masa akan datang.
"Mereka yakin masyarakat percaya Woods tidaklah seteruk yang diuar-uar andai Elin kekal bersamanya.
"Sebahagian daripada tawaran itu menyatakan, jumlah besar akan diberikan kepada dua anak mereka, Sam, 2, dan Charlie, 11 bulan, manakala Elin pula boleh hidup bebas.
"Elin hanya perlu muncul bersama Woods di tempat umum dan tidak membincangkan skandal seks ini," kata sumber rapat.
Tawaran Woods itu dibuat berdasarkan kejayaan bintang bola keranjang LA Lakers, Kobe Bryant yang dituduh merogol seorang pelayan hotel berusia 19 tahun pada 2003.
Bryant menafikannya dan meskipun menyelesaikan kes itu di luar mahkamah dan memohon maaf secara terbuka, beliau hilang kontrak lumayan dan dicemuh pada setiap perlawanan.
Namun, kehadiran isteri, Vanessa di samping Bryant menyebabkan peminat melupakan insiden itu dan beliau kini kembali beraksi dengan kontrak bernilai AS$32 juta (RM107 juta) setahun dan tajaan baru. - Agensi
No comments:
Post a Comment