Tuesday, January 19, 2010

JD Akui Salah Susun Strategi

KUALA LUMPUR, 18 JAN 2010: Ahmad Zaidi Masri atau JD, 30, mengakui usaha menyusun strategi bagi memperkenalkan lawak menerusi pendekatan terbaru akhirnya memakan diri nya sendiri apabila menjadi peserta kedua yang tersingir dalam gelanggang Raja Lawak 4 (RL4), Ahad lalu.

"Saya fikir dengan cara berbuat demikian, saya mampu perkenalkan lawak cara baru itu secara perlahan-lahan. Tapi, saya telah buat silap kerana telah membazirkan masa selama 2 minggu yang pertama itu dengan begitu saja. Ternyata strategi tidak sesuai pertandingan seperti RL4 ini.

"Malah, ia juga sesuatu yang sukar untuk diterima oleh masyarakat Malaysia kerana dalam tempoh selama 2 minit lebih mereka lebih gemar diberikan sesuatu yang lebih mudah untuk diterima atau difahami.

"Bukannya sesuatu yang memerlukan mereka untuk berfikir. Itulah yang saya sedari dan cuba memberikan apa yang orang nak pada minggu ini. Malangnya, saya sudah terlambat untuk menggunakan pendekatan yang lebih orang suka ini," katanya sewaktu diwawancara murai.com.my.

Secara jujur kata JD, dia sangat-sangat kecewa dengan penyingkirannya dalam RL4.

"Saya tidak kecewa dengan keputusan yang dibuat penonton tapi saya lebih kecewa dengan diri saya sendiri. Tapi saya gembira kerana akhirnya saya mampu memberikan apa yang orang nak pada minggu ketiga.

"Berdasarkan pada persembahan saya pada minggu ini juga, saya rasa saya tidak patut disingkirkan pada malam ini. Mungkin saya patut diberikan masa selama 2 minggu lagi untuk berada dalam gelanggang ini. Sekurang-kurangnya, ia dapat memberi peluang untuk orang lebih kenal diri saya dan lebih akrab dengan lawak yang saya tonjolkan. Lagipun saya, akui saya sudah makin selesa menyesuaikan diri dengan gelanggang.

"Apapun, penyingkiran saya pada malam ini adalah penyingkiran yang bermaruah," katanya.

Sekalipun perjuangannya di dalam RL4 sudah pun berakhir, namun JD mengakui dia akan terus melayari kehidupan sebagai anak seni.

"Memandangkan saya juga adalah seorang pemuzik, jadi mungkin selepas ini saya akan usahakan untuk menerbitkan bahan-bahan lagu yang telah saya cipta sebelum ini. Saya tidak pasti, bagaimana caranya untuk saya capai impian ini.

"Tapi, mungkin dengan pendedahan serta tunjuk ajar daripada mereka yang sudah berpengalaman dalam bidang ini, saya mungkin mampu untuk melakukannya bersama band muzik saya yang sebelum ini digelar Danji 300.

"Danji adalah perkataan dalam Bahasa Jepun yang bermaksud lelaki sejati. Saya dan rakan-rakan band tidak pasti lagi sama ada kami akan mengekalkan nama ini atau sebaliknya.

"Tapi, muzik yang kami mainkan bersama band muzik ini adalah muzik grunge era 90's yang ketika ini sedang bangkit di Seattle," katanya yang berkebolehan bermain instrumen gitar, piano dan ukulele.

Ditanya peserta RL4 yang menjadi kegemarannya, JD berkata, sejak dari awal lagi, Alex menjadi pilihannya.

"Bagi saya, Alex adalah seorang pemikir dan pelawak yang dilahirkan secara semulajadi. Sebab itu saya boleh mengaitkan diri saya dengan Alex. Pendekatannya agak lebih kurang sama dengan saya. Cuma, caranya lebih baik lagi. Saya harap, Alex akan dapat sambung perjuangan saya selepas ketiadaan saya nanti. Tapi, kalau ditanya siapa peserta yang paling rapat dengan saya, jawapannya ialah Aman.

"Sebab kami teman sebilik dan jarak usia kami juga tidak jauh beza daripada saya. Bila saya tertekan, dia selalu tenangkan saya. Tapi, dia lebih dulu tersingkir dan sekarang ini pula giliran saya. Akhirnya bilik kami tinggal kosong begitu saja," ujarnya.

JD menerima undian terendah iaitu sebanyak 5.7 peratus selepas Caca dan Faiz yang mana masing-masing memperolehi undian sebanyak 7 peratus pada malam itu. www.murai.com.my

No comments:

Post a Comment