Tuesday, January 26, 2010

Jawablah!: 'Saya minta maaf'

Finalis Penyampai Radio Popular ABPBH2009 ini mengakui tidak sepatutnya keluarkan perkataan kasar

SELAMA dua dekad dalam bidang penyiaran, di radio dan televisyen, khususnya sebagai pelawak, namanya bersih daripada sebarang kontroversi. Meskipun lawak jenakanya ada kala mencuit perasaan sesetengah pihak, tapi apabila mengenangkan memang itulah karakter sebenar Din Beramboi yang diketahui gemar menampilkan lawak merapu, jadi perkara itu dibiarkan begitu saja.

Namun, nama yang sekian lama dijaga itu tercalar juga apabila baru-baru ini, pelawak, pengacara dan penyampai Radio Era ini dikatakan 'tak sayang mulut' apabila mengeluarkan kata-kata berunsur penghinaan ke atas satu kumpulan yang menyertai program Raja Lawak musim ketiga tempoh hari. Sewaktu memberi komen untuk kumpulan An2, dia menyebut perkataan anjing sehingga menyebabkan ramai pihak tidak berpuas hati dengan pemilihan perkataan itu.

Menyedari ada pihak yang terluka atas keterlanjuran lidahnya itu, Din Beramboi ketika dihubungi Hip petang kelmarin memohon maaf secara terbuka dan mengakui apa yang berlaku itu adalah berpunca daripada kesilapannya .Sambil mengucapkan terima kasih atas teguran itu, finalis penyampai Radio Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2009) ini juga menyatakan apa yang berlaku itu akan dijadikan pengajaran buatnya pada masa akan datang.

Hip: Kenapa boleh terkeluar perkataan 'anjing' sewaktu memberi komen dalam program Raja Lawak tempoh hari?

Saya tidak bermaksud langsung menyamakan dengan haiwan itu. Sejujurnya, saya cukup marah dengan kumpulan An2 kerana tidak mempraktikkan apa yang sudah saya ajar sewaktu latihan. Masa raptai, mereka buat dengan baik, tetapi pada pertandingan sebenar, semua jadi kelam kabut. Disebabkan tidak dapat mengawal perasaan, terkeluar perkataan anjing. Begitupun, saya tak anggap perkataan itu kasar ataupun hina. Lagi pun, haiwan itu mempunyai banyak kegunaan seperti menjaga rumah, mengesan bom dan teman setia. Tapi bukanlah bermakna saya menggalakkan kata-kata seperti itu digunakan. Saya akur bahawa komen seperti itu tidak sesuai dengan budaya kita.

Hip: Apakah Din sengaja mengeluarkan komen seperti itu semata-mata untuk mengejar populariti?

Bukan populariti yang saya kejar apabila mulut ini mengeluarkan komen sebegitu, tetapi saya sekadar menjadi diri saya sendiri. Saya lebih suka bersifat telus dalam memberi komen dan bukannya cuba mencari kelainan dengan mengeluarkan komen sensasi. Apa pun, saya sedar, perbuatan itu sudah berlaku dan sukar ditarik balik. Jadi apa yang boleh saya lakukan adalah dengan memohon maaf. Percayalah, saya tidak berniat untuk menyakiti hati sesiapa dan saya juga tidak bermaksud untuk menghina mereka.

Hip: Tak risau dikecam pelbagai pihak selepas ini?

Saya tak rasa ada pihak akan bertindak sekeras itu. Bukannya saya membunuh orang. Seperti yang dikatakan, saya hanya memberi komen dengan penuh jujur sambil didorong perasaan marah.

Hip: Din tak terasa hati apabila komen yang diberi disalah anggap dan diperbesarkan?

Sepanjang 20 tahun dalam bidang ini, inilah yang pertama saya terima dan saya amat menghargainya. Kritikan ini bererti, masyarakat prihatin dengan kerja saya. Saya faham, tidak semua orang terbuka dengan kritikan. Saya positif dengan apa yang orang perkatakan mengenai diri saya selepas ini. Kepada mereka yang menegur tindakan saya ini, saya ucapkan terima kasih.

Hip: Sekian lama dalam bidang ini, baru sekarang tersangkut sebagai finalis ABPBH 2009. Komen sikit.

Saya tidak sangka tersenarai dalam Top 5 Penyampai Radio Lelaki Popular. Dengan pencalonan ini bermakna, hasil kerja saya turut dipandang. Apapun, saya tidak menaruh harapan untuk menang kerana persaingannya cukup sengit. Berada dalam senarai finalis sudah cukup membuatkan saya rasa dihargai.

Hip: Tidakkah pencalonan itu kerana tempias populariti Aznil disebabkan Din berdua digandingkan untuk program Riuh Pagi di Era?

Saya tak malu mengakui yang ia juga tempias populariti Aznil dan saya anggap itu adalah kelebihan buat saya. Jarang kita lihat Aznil bergandingan apabila melakukan sesuatu tugas. Lazimnya dia bergerak secara solo. Tapi apabila Aznil mengundang saya bergandingan dengannya, mengapa saya harus menolak. Lagi pun Aznil pernah memberitahu saya supaya menggunakan peluang ini untuk terus maju dalam karier saya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment