Saturday, February 13, 2010

David Teo beraya di rumah RM1 juta

BERANI dan kental. Itulah semangat dari jiwa produser David Teo sempena Tahun Baru Cina yang disambut seluruh masyarakat Tionghua hari ini. Tahun Harimau yang diraikan merupakan impian terbesar David untuk menjadi individu yang berjaya sebagai pembikin filem.

(Gambar : BERSAMA isteri tersayang, Jane Lim.)Buktinya hari ini David tersenyum gembira kerana filem terbarunya Adnan Sempit merupakan filem Melayu pertama mencatat kutipan RM7 juta setakat ini. Kutipannya dijangka akan terus meningkat apabila tempoh tayangan dilanjutkan.

Bersesuaian dengan kekuatan seekor harimau, kata David, dia pasti usaha gigihnya untuk mencatat kejayaan dalam perniagaan pada tahun ini akan terlaksana.

"Kejayaan Adnan Sempit membuktikan bahawa perniagaan saya menunjukkan peningkatan.

"Sempena Tahun Harimau pada kali ini, saya yakin ia menjadi tuah untuk saya menghasilkan kejayaan dalam perniagaan untuk filem-filem akan datang seperti Adnan Sempit yang merupakan filem Melayu nombor satu abad ini," katanya.

Sepanjang 2010 ini kata David, sebanyak 10 buah filemnya sedang menanti untuk ditayangkan selain menjangkakan dapat menerbitkan 15 buah filem dalam tempoh itu.

Ini menjadikan Metrowealth sebagai sebuah syarikat produksi yang paling aktif berbanding syarikat-syarikat lain.

Produser ini percaya antara kejayaan yang diraih selama ini adalah kerana sikapnya yang suka bersedekah.

Kata David dia percaya, rezekinya akan melimpah ruah kerana selama ini dia banyak membantu orang ramai dan sesiapa saja yang memerlukan bantuan.

"Saya percaya kalau kita banyak tolong orang, Tuhan akan berikan saya rezeki. Sebagai bukti filem Adnan Sempit mencatatkan jualan paling tinggi tahun ini," jelasnya.

Sebab itulah setiap kali melancarkan filem-filem baru, dia tidak lupa untuk memanggil ustaz mengadakan majlis doa selamat walaupun mempunyai fahaman agama berbeza.

Malah kata David lagi, pada tahun ini dia sudah berjanji untuk memberikan bonus kepada pelakon-pelakonnya sebagai penghargaan di atas usaha gigih mereka.

Amalan itu katanya sudah dilakukan sejak sekian lama terutamanya ketika menjelang Hari Raya Aidilfitri.

"Macam biasa, saya akan berikan bonus berupa duit raya kepada pelakon kerana mahu melihat mereka gembira bekerja dengan saya. Sudah tentu juga mereka akan mendoakan yang baik-baik untuk saya agar murah rezeki," ujarnya.

Jelas David, sempena sambutan rumah terbukanya yang dilakukan empat hari lebih awal pada Rabu lalu, dia turut memberikan angpau kepada tetamu yang datang.

Amalan itu adalah kepercayaan orang Cina agar mereka mendapat rezeki yang lebih.

Bercerita mengenai sambutan perayaan itu David bersama isteri Jane Lim dan empat orang anak mereka akan pulang ke Segamat, Johor untuk beberapa hari.

David juga akan sekali lagi mengadakan majlis rumah terbuka untuk meraikan kawan-kawan dalam perniagaan dan saudara mara yang dijadualkan seminggu selepas sambutan itu.

Kata David lagi, tahun ini dia gembira kerana dapat beraya dengan penuh meriah di rumah barunya yang terletak di Bukti Rimau, Shah Alam Selangor.

Rumah bernilai lebih RM1 juta itu sudah didiaminya pada tahun lalu tetapi pada tahun ini barulah dia dapat mengadakan rumah terbuka selepas segala kelengkapan di dalam rumah disediakan. - Utusan

No comments:

Post a Comment